Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO 2000 (10 Mei)
Perhimpunan Agung UMNO 2000 (11-13 Mei)


 
 
 

 


Pembahas Perlihat Kesungguhan, Kelantangan

Pembahas Perlihat Kesungguhan, Kelantangan

Oleh ZULKEFLI HAMZAH
KUALA LUMPUR 12 Mei - Perhimpunan Agung UMNO ke-54 yang masuk hari kedua memperlihat kesungguhan para pembahas yang lantang mendesak UMNO memperbaiki diri di semua peringkat agar parti itu terus mendapat sokongan orang Melayu.

Secara berterus-terang, mereka berpendapat, usaha memperbaiki kesilapan lalu akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan UMNO sebagai parti tempat bergantung orang Melayu.

Sambil menyorot keputusan pilihan raya umum lalu, mereka berkata, dengan cara itu juga, UMNO akan terus relevan dan berwibawa di kalangan orang Melayu.

Antara pembahas yang lantang dan menarik perhatian perwakilan serta pemerhati ialah wakil Kelantan, Datuk Annuar Musa yang membahas ucapan dasar presiden.

Beliau mahu pemimpin-pemimpin tinggi parti yang turut memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk Perdana Menteri dan timbalannya, menteri kabinet dan menteri besar turun melaksanakan kerja parti menjangkaui batasan kawasan pilihan raya masing-masing.

Katanya, pemimpin janganlah hanya asyik membuat kerja kerajaan sahaja sehingga kerja parti terabai kerana kerajaan yang kuat belum menjamin parti yang menerajui kerajaan itu juga kuat.

Jika perubahan itu tidak dilakukan, tegasnya, tidak mustahil UMNO akan melalui nasib yang sama seperti Liberal Democratic Party di Jepun, Kuomintang di Taiwan dan Golkar di Indonesia.

Annuar turut menegur sikap sesetengah anggota MT yang hanya asyik membelek-belek fail setiap kali ada mesyuarat MT tetapi kebanyakan keputusan yang dirumuskan pada mesyuarat itu tidak dilaksanakan.

Wakil Pulau Pinang, Othman Desa semasa membahas usul agama pula mengajak semua ahli UMNO bermuhasabah agar kesilapan diri sendiri dapat diperbaiki.

``Biarkan apa yang pembangkang nak kata pasal kita, yang penting sekarang ialah memperbaiki diri sendiri.

``Muhasabah hendaklah dibuat oleh ahli UMNO sendiri ... jangan nak kata pembangkang sedangkan diri sendiri belum diperbetulkan,'' katanya.

Wakil Wanita, Zaleha Husin turut mengkritik kepimpinan di pelbagai peringkat yang katanya, lambat bertindak menangkis serangan fitnah Pas yang dibuat melalui ceramah dari kampung ke kampung.

``Pas di Kelantan kini berceramah tiga tempat satu malam, dan kalau setahun mereka dapat 882 tempat, Kita UMNO berapa,'' tanyanya.

Wakil Terengganu, Awang Jabbar pula berpendapat, UMNO berada dalam keadaan goyah ketika menghadapi pilihan raya umum yang lalu kerana banyak orang Melayu dan anggota UMNO sendiri terkena penyakit tidak puas hati.

Penyakit itu, katanya, pernah menyerang orang Melayu beberapa kali termasuk yang terbaru pada 1998 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Wakil Perak, Sharani Mohamad turut mendedahkan kelemahan UMNO ialah peranan tidak berkesan yang dimainkan oleh jentera penerangannya sehingga gagal menyalurkan banyak maklumat terkini kepada anggota bawahan menjelang pilihan raya yang lepas.

Katanya, UMNO wajar menubuhkan sebuah jabatan penerangannya sendiri dan melantik pegawai-pegawai penerangan sepenuh masa di seluruh negara bagi mengatasi kelemahan itu.

Wakil Kedah, Datuk Badrudin Amiruldin dengan nada tegas meminta 2.8 juta ahli UMNO memikirkan mengapa rakyat kurang meyakini parti.

Beliau turut menyeru semua ahli supaya kembali ke perjuangan asal iaitu nasionalisme dan memajukan bangsa Melayu.

``Kalau UMNO berjaya, Islam akan berjaya dan dapat dipertahankan,'' katanya.




© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]