Error: E:\utusan\html\SpecialCoverage\worldcup2010\en\direct\quotes\FULLP\index.xml is missing!
UTUSAN WORLDCUP 2014 SPECIAL
15/07/2014

Jerman cipta sejarah di Brazil

Jerman cipta sejarah di Brazil

PENYERANG Jerman Andre Schuerrle mengucup trofi kemenangan bersama rakan sepasukannya selepas muncul juara Piala Dunia 2014 di Stadium Maracana di Rio de Janeiro, semalam. - AFP

RIO DE JANEIRO - Jerman mencipta sejarah apabila menjadi pasukan pertama dari Eropah menjuarai Piala Dunia di Amerika Selatan semalam setelah menumpaskan Argentina 1-0 hasil jaringan cantik pemain gantian Mario Goetze pada masa tambahan.

Bintang Bayern Munich, Goetze menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-113 dalam perlawanan sengit di Stadium Maracana di Rio de Janeiro manakala harapan bintang Argentina, Lionel Messi untuk menyamai pencapaian Diego Maradona tidak kesampaian.

Jerman kini telah memenangi Piala Dunia sebanyak empat kali, kurang satu daripada rekod Brazil yang telah merangkul kejuaraan sebanyak lima kali.

“Sukar dipercayai dengan apa yang kami capai. Sama ada kami memiliki pemain terbaik individu tidak penting. Awak hanya memerlukan pasukan terbaik," kata ketua pasukan Jerman, Philipp Lahm.

Kejayaan Jerman mencetuskan suasana kegembiraan di tanah air mereka, selain di negara tuan rumah Brazil, yang amat berharap Argentina selaku musuh ketat mereka di Amerika Selatan tidak menjadi juara di tanah air mereka.

Bunga api dan mercun meletup di serata Berlin ketika lebih 250,000 peminat melompat kegirangan di ibu negara itu dambil menyanyi.

Beribu-ribu peminat Argentina yang mengerumuni pantai Copacabana di Rio sebelum perlawanan bermula terus senyap selepas pasukan mereka kalah manakala peminat Brazil berpesta.

“Syukur Jerman menang," kata Caio Ferraz, peminat Brazil berusia 45 tahun yang menonton di kawasan umum di pantai itu.

Gol Goetze menyamai catatan rekod jaringan di Perancis pada 1998 apabila sebanyak 171 gol dijaringkan selepas 64 perlawanan.

Jaringan itu dilakukan tujuh minit sebelum masa tambahan tamat di hadapan 74,738 penonton termasuk Chancelor Jerman, Angela Merkel apabila Andre Schuerrle meluru di sebelah kiri dan membuat umpanan lintang kepada Goetze.

Pemain berusia 22 tahun itu mengawal bola dengan dadanya dan kemudian membuat sepakan voli melepasi Sergio Romero untuk membuatkan penyokong Jerman dan Brazil bersorak kegembiraan. - AFP




Utusan Online on Facebook
Rakan Strategik