DAFTAR
    Utusan Online   Kumpulan utusan   Hubungi Kami   Jom Iklan!   Arkib Berita    

09/11/2007

Badruddin takut dituduh tak berlaku adil

Badruddin takut dituduh tak berlaku adil

OLEH SITI AINIZA KAMSARI dan SUFFIAN ABU BAKAR

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2007 kali ini menyaksikan satu kelainan apabila Pemangku Pengerusi Tetap, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin menghidupkan perhimpunan dengan celoteh dan jenakanya.

Ahli Parlimen Jerai itu yang sebelum ini terkenal dengan sikap suka berselorohnya, sering membuatkan semua perwakilan tidak kering gusi dengan jenaka-jenaka hidup yang mampu menggeletek hati sesiapa saja di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kepada wartawan Utusan Malaysia, Siti Ainiza Kamsari dan Suffian Abu Bakar, Badruddin yang ditemui pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2007, menceritakan pengalamannya.

Rupa-rupanya bukan mudah untuk menjadi Pengerusi Tetap, kata beliau. Namun apa yang penting baginya ialah beliau perlu mewujudkan suasana seronok dan ceria.

“Saya mahu perwakilan ingat mesej yang saya sampaikan melalui lawak-jenaka, kerana ia lebih mempunyai makna yang mendalam,” katanya.

Soalan: Ada yang melihat seolah-olah Datuk Paduka seperti ketagih untuk berucap, terutamanya ketika mencelah usul para pembahas.

BADRUDDIN: Memang saya dah lama bercakap, sudah 19 kali saya berucap dalam perhimpunan agung. Kadang-kadang itu seronok juga hendak bercakap, tapi saya tahulah yang saya ini tidak boleh bercakap (berucap).

Untuk itu, saya membuat usikan, biasanya kawan-kawan yang saya kenal, seperti pembahas dari Kedah, (Kamal Saidin), saya kenal dia sebab dia anak buah saya. Sewaktu menjadi Ketua Penerangan negeri dulu, dia setiausaha saya.

Jadi saya boleh bergurau dengan mereka sebab kalau pembahas yang tidak kenal, saya tidak berani juga (untuk bergurau).

Macam pembahas dari Melaka (Datuk Idderis Kasim), beliau merupakan orang lama, bercakap pun tidak perlu gunakan teks, hanya isi penting sahaja yang dirujuk. Saya suka mengusik dia untuk membuatkan semua orang gembira.

Soalan: Apakah Datuk Paduka sedia memikul tugas ini secara tetap selepas ini?

BADRUDDIN: Kita perlu bentuk satu pelapis untuk menjadi pembahas yang baik. Sampai bila saya hendak berucap (menjadi pembahas)? Sampai bila kita hendak bentuk pelapis?.

Sudah tiba masanya kita merancang untuk mencari pelapis mereka yang boleh berucap. Untuk itu, apabila saya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tetap, orang lain boleh berucap. Jika asyik saya sahaja yang berucap, orang lain lama-kelamaan akan menjadi boring (bosan).

Bagi pembahas di kalangan Puteri dan Pemuda, saya lihat mereka semakin bagus, banyak input yang dibahaskan. Walaupun Pemuda dan Puteri adalah barisan pelapis, dan baru di perhimpunan ini, mereka mempunyai banyak idea.

Ada juga jurucakap Puteri yang baru pertama kali berbahas di atas pentas, ada di antara mereka yang masih takut, gelabah dan tidak yakin.

Tugas saya pula terpaksa memaklumkan kepada semua pembahas masa mereka sudah tamat. Jadi dengan mereka yang baru ini, takkanlah saya hendak kata `masa dah cukup’ dengan nada tinggi, tentu semakin takut nanti.

Untuk itu, saya bercakap dengan baik, dan saya anggap mereka ini seperti anak-anak saya supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan perwakilan yang ramai.

Soalan: Ada yang menggelar Datuk Paduka `kecindan’, iaitu istilah yang dipetik dari Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai seseorang yang mampu menarik minat orang ramai dengan keunikan dan cara tersendiri.

BADRUDDIN: Dalam sesuatu perhimpunan seperti ini, kita tidak mahu ia berjalan dalam suasana yang serius, sehingga wujud suasana tertekan.

Kita mahu perhimpunan yang penuh dengan unsur kemesraan, ada inti pati yang istimewa. Untuk itu, saya cuba menceriakan suasana dengan lawak jenaka.

Saya juga bukan pelawak, kita kena faham perbezaan itu, dan dalam sesebuah organisasi mungkin ada yang tidak berpuas hati.

Bagi mencari jalan agar mereka ini berpuas hati, saya perlu membuatkan mereka seronok, untuk itu, saya sindir melalui cerita yang boleh membuatkan mereka ingat.

Soalan: Sebagai Pemangku Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung UMNO kali pertama, mungkin ada tugas dan tanggungjawab besar yang sebelum ini Datuk Paduka sendiri tidak sedari.

BADRUDDIN: Bagi saya, cabaran yang baru saya nampak sekarang ialah faktor masa sepanjang perbahasan. Perhimpunan Agung UMNO kali ini ada tiga hari sahaja. Hari ini ialah Jumaat dan ini menjadikan kita hanya ada dua setengah hari sahaja untuk berbahas.

Faktor masa ini juga membuatkan saya serba salah kerana saya perlu menyeimbangkan semua masa pembahas. Saya paling takut sekiranya ada orang yang kata saya tidak adil.

Tapi, alhamdulillah, semua pembahas sendiri faham dengan ketetapan masa ini. Saya merujuk kepada jam besar di dinding dewan. Setiap kali pembahas memulakan ucapan, saya akan tetapkan. Misalnya jika beliau memulakan bahas pada pukul 2.30 petang, saya akan tetapkan 15 minit kemudian untuk beliau gulung ucapannya.

Saya juga berhasrat untuk mencadangkan agar perhimpunan agung selepas ini dibuat selama empat hari. Jika dalam empat hari, semua wakil negeri boleh membahas ucapan dasar Presiden. Semua negeri juga boleh berucap membahaskan usul ekonomi, pendidikan dan agama.

Jika berkesempatan, saya akan bertemu dengan ahli Majlis Tertinggi UMNO memohon agar perhimpunan agung selepas ini ditambah sehari lagi. Maknanya, kita dapat berbahas selama tiga hari, hari keempat kita gulung dan tengah hari perwakilan boleh balik.

Ada rasionalnya juga permohonan itu kerana saya kasihankan para pembahas yang sudah bersiap sedia dengan fakta-fakta, tiba-tiba tidak berpeluang kerana usul ekonomi dan pendidikan diasingkan dengan usul agama.

Soalan: Datuk Paduka masih terkenangkan Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah?

BADRUDDIN: Ingat... memang saya ingat sangat dengan arwah. Sebab itu saya kata kelmarin (semalam), dulu memang bila saya berucap arwah Tun akan pening kepala dengan saya, pening sebab saya banyak sangat curi masa, kadang-kadang sampai 45 minit.

Tapi hari ini bila saya duduk di atas, rupanya susah balik saya, sebab itu orang ada cakap jangan buat dekat orang, nanti orang buat balik dekat kita.

Bagaimanapun, saya anggap Allahyarham Tun sebagai idola saya dalam perbahasan Perhimpunan Agung UMNO dan Tan Sri Onn, seperti abang kepada saya kerana beliau banyak menunjuk jalan.

Jika ditanya kepada Tan Sri (Onn) pun, saya berharap sangat beliau akan berpuas hati dengan khidmat saya ini, kerana saya ini lebih merupakan anak didik beliau dan Allahyarham.

- Utusan