DAFTAR
    Utusan Online   Kumpulan utusan   Hubungi Kami   Jom Iklan!   Arkib Berita    

06/11/2007

Satu kerusi DUN, Parlimen di setiap negeri untuk Puteri

Satu kerusi DUN, Parlimen di setiap negeri untuk Puteri

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Pucuk pimpinan Puteri UMNO negeri perlu diberikan tempat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen pada pilihan raya umum.

Ketua Penerangan Puteri UMNO Kedah, Hisham Suhaily Othman berkata, Puteri mewakili satu perlima daripada keseluruhan ahli UMNO menganggap permintaan tersebut wajar bagi menyampaikan suara dan pandangan pergerakan itu.

“Suara puteri jangan disenyapkan, pandangan Puteri jangan dikaburkan.

“Jika diberikan kerusi-kerusi tersebut, kami akan berkhidmat dan melakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyokong ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad pada persidangan perwakilannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Hisham Suhaily, kemampuan Puteri juga telah terbukti, antaranya menerusi dominasi golongan wanita muda di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Dalam pada itu, beliau juga menyanjung tinggi usaha kerajaan untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan kaum wanita dalam agensi-agensi pembuat dasar negara.

Katanya, kini lebih 3.57 juta wanita di negara ini keluar bekerja setiap hari, dan sudah tentu jumlah ini bertambah dalam 10 tahun yang akan datang.

Menurutnya, statistik tersebut lebih daripada mencukupi bagi membuktikan kemampuan wanita untuk berdikari dan menjadi pembuat keputusan.

- Utusan