Hari Ini:
Laman Utama>>>
Laman Utama
   
 
13/11/2006

Permata catatan hidup Ghafar

Permata catatan hidup Ghafar

BUKU istimewa ini akan dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Aras 4, Pusat dagangan Dunia Putra (PWTC) pukul 4.30 selepas Majlis Taklimat Presiden.

Serentak itu juga, Pameran Bergambar Tun Abdul Ghafar Baba akan diadakan sepanjang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO dari 13 November hingga 17 November 2006 yang mana buku ini dijual dengan harga istimewa iaitu RM95.

Menurut Tamrin Tun Ghafar, kesemua hasil keuntungan daripada penjualan buku tersebut akan disalur dan didermakan kepada Tabung Bersamamu TV3 untuk membantu golongan fakir miskin.

Pembelaan terhadap orang miskin dan terpinggir sememangnya merupakan tema perjuangan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presiden UMNO itu. Maka buku ini dibuka dengan kata-kata beliau:

‘‘Salahkah saya daripada keturunan miskin, anak miskin, anak penarik kereta lembu ini berdiri tegak di tengah-tengah bangsa saya bagi membela dan menghapuskan kemiskinan.

‘‘Saya tidak ada kelulusan tinggi cuma ada semangat. Tapi saya ingin terus berjuang berlandaskan semangat itu selagi ekonomi orang Melayu belum seimbang dengan bangsa lain.”

Menurut Tamrin, semasa hayatnya, Allahyarham yang meninggal dunia pada 23 April lalu dalam mengisi lapangnya telah sempat membuat catatan dan menulis apa jua yang terlintas di dalam ingatan beliau mengenai dirinya yang diberi judul ‘‘Penitianku’'.

Dalam kata pengantar buku ini, Tamrin menyatakan: ‘‘Sempena mengingati 100 hari pemergiannya, saya bukukan sebanyak 100 buah naskhah catatan peribadi Allahyarham ini tanpa sebarang pindaan, buat tatapan kita semua.”

Justeru buku ini merupakan permata pengalaman kehidupan Allahyarham yang menjadi warisan bukan saja kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, malah kepada kemanusiaan.

Ini kerana inti perjuangan Allahyarham adalah membela orang susah dan terpinggir dan itulah merupakan nilai sebenar sesuatu perjuangan politik.

Ghafar telah menyalurkan perjuangan ini melalui UMNO dan melalui catatannya, Allahyarham mengingatkan kepada orang Melayu bahawa asal usul parti itu adalah untuk membela golongan susah, terpinggir dan terjajah.

Orang Melayu yang susah, miskin, terpinggir dan terjajah pada zaman British memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan melalui UMNO. Perjuangan ini masih terus relevan dan orang Melayu mesti sentiasa diingatkan tentang nilai perjuangan murni ini.

Maka kemerdekaan Tanah Melayu dan Malaysia adalah bertujuan untuk memperbaiki taraf hidup bangsa. Peningkatan kedudukan ekonomi bangsa merupakan hasil proses perjuangan menuntut dan mengisi kemerdekaan.

Catatan pertama Ghafar berbunyi: ‘‘Pada 18h. Februari 1925, anak yang keenam daripada sembilan orang adik-beradik, saya dilahirkan di Tebat Kering, sebuah solok terpencil dikelilingi oleh hutan belukar dan kebun getah terletak di Kampung Bukit Tembun, daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ia berakhir dengan catatan ke-437 berbunyi: Saya memperoleh 25,559 undi mengalahkan calon Pas dan Parti Melayu Semangat 46. Kedua-dua calon pembangkang itu hilang wang pertaruhannya. Majoriti saya meningkat daripada 14,000 dalam pilihan raya 1990 kepada 22,000 dalam pilihan raya 1995 itu.‘'

Setakat itu saja catatan yang sempat ditulis oleh Allahyarham tetapi apa yang diturunkannya dalam 437 catatan mampu membuka mata dan hati pembaca buku ini terhadap isu-isu yang dihadapi oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Antara yang menarik ialah catatan nombor 39, 40 dan 41. Catatan ini ditulis dalam bahasa Inggeris dan berikut adalah terjemahannya:

‘‘Satu hari semasa saya masih tinggal di Kuala Pilah, kepercayaan saya bahawa semua kanak-kanak hidup seperti saya telah musnah. Saya baru dapat kerja sebagai seorang kedi di mana saya dibayar satu sen sehari. Adalah giliran saya mengambil set golf dari seorang pemain golf British dari rumahnya. Pagi itu adalah indah, mata- hari memyinar cerah, burung-burung menyanyi, dan bagi seorang budak, semuanya berjalan lancar, saya amat gembira dan optimis tentang masa depan.

‘‘Apabila saya sampai di rumah pemain golf, saya lihat anak-anaknya berpakaian kemas, duduk di meja makan dan sedang bersarapan. Saya amat terkejut. Terdapat banyak makanan, dan ia hanyalah makan pagi. Semua kanak-kanak itu memakai kasut. Dan mereka mempunyai beg-beg sekolah yang cantik. Kemudian saya melihat mereka dipandu ke sekolah dalam kereta ayah mereka yang bersinar. Saya lihat kepada diri saya.

‘‘Berbanding dengan anak-anak pemain golf itu, saya boleh dikatakan berpakaian compang-camping. Saya tidak memakai kasut dan hampir sentiasa lapar. Tiba-tiba perasaan indah pagi itu hilang daripada diri saya, dan saya ditenggelami dengan tekanan perasaan.

‘‘Saya bertanya kepada diri saya: Bagaimana orang ini hidup dengan selesa? Mengapa tidak saya? Terdapat satu tangisan dari hati saya. Saya tidak dapat percaya apabila saya melihat anjing mereka juga diberi makan daging sedangkan saya hanya dapat makan daging dua kali setahun.

‘‘Benih-benih rasa tidak puas hati mula dituai. Buat pertama kali saya tersentak sedar daripada kewujudan kampung yang melekakan. Mata saya terbuka dan sedar bahawa manusia terbahagi antara yang kaya dan miskin, yang berharta dan yang tidak memiliki apa-apa, dan orang miskin tidak berdaya,” tulis beliau.

Beliau meneruskan catatannya ke-42 dalam bahasa Melayu:

‘‘Apabila kedua-dua ibu bapa sudah meninggal dunia dan empat orang adik beradik saya yang lain meninggalkan Kuala Pilah saya tinggal sebatang kara, jadi anak yatim.

‘‘Kehidupan saya bertambah menderita, sebelah pagi dalam perjalanan ke sekolah, tidak kira di mana saya tidur malam sebelumnya tidak pernah miss saya singgah di sebuah kedai kopi seorang Cina Hailam memanjat reja-reja roti yang telah dibuang ke dalam tong sampah. Itulah yang jadi sarapan pagi saya setiap hari.”

Catatan ke-43 berbunyi: ‘‘Sebelah malam kalau saya tidak balik ke rumah bapa saudara saya itu, saya menumpang tidur di rumah kawan-kawan. Kadang-kadang saya tidur di bilik darjah, gelap dan penuh dengan nyamuk.”

Pengalaman miskin beliau itu mungkin turut dirasa oleh banyak orang Melayu pada zaman itu. Tetapi ia mewarnai perjuangan politiknya.

Dalam catatan ke-122, beliau menulis: ‘‘Saya mulai berpolitik pada tahun 1939 semasa masih bersekolah waktu berumur 14 tahun dengan menyertai KMM (Kesatuan Melayu Muda). KMM ditubuhkan oleh Ibrahim Haji Yaacob (IBHY), bekas seorang guru lepasan SITC (Kolej Perguruan Sultan Idris) berasal dari Temerloh, Pahang.

Terhadap Ibrahim, beliau menyatakan: ‘‘Jika tidak kerana tercetusnya perang Pasifik mungkin beliaulah yang menjadi hero bagi pembebasan Malaya.

Dalam catatan ke-139, beliau menulis: ‘‘ Saya telah dipilih menjadi Setiausaha UMNO negeri Melaka pada hari pertama saya menyertai parti itu. Waktu itu jawatan setiausaha bukan dilantik tetapi dipilih. Terus menerus, tidak terputus walau sehari jua pun, saya memegang jawatan dalam UMNO selama 42 tahun sehingga saya meletakkan jawatan Timbalan Presiden pada 30 Oktober 1993.”

Tetapi ada satu pendapatnya yang menarik dan diturunkan dalam catatan ke-138: ‘‘Jika IMP (Parti Kemerdekaan Malaya) bersungguh-sungguh memperjuangkan kemerdekaan dan lebih progresif daripada Perikatan, ada kemungkinan parti itu boleh menang dan berkembang. Jika ditakdirkan multiracial party seperti IMP menang pilihan raya 1955 itu dahulu, maka senario politik di Malaysia yang berbentuk perkauman seperti yang ada sekarang menurut fikiran saya mungkin sudah tidak wujud lagi.”

Buku penuh maklumat dan kesedaran sejarah ini wajar berada di semua perpustakaan awam, perpustakaan sekolah dan perpustakaan pejabat di seluruh negara.

Perhimpunan Agung UMNO:
UMNO2004
UMNO2003
UMNO2002
UMNO2001
UMNO2000 KHAS
UMNO2000