05/06/2006

PM mahu atlet kebangsaan sertai Sukma

PM mahu atlet kebangsaan sertai Sukma

Oleh YUSRI SAHAT

JU‘PE Mu di Nung (jumpa lagi di Terengganu)...Penari kebudayaan bergambar dengan maskot Sukma XII Terengganu pada 2008 pada majlis penutup Sukma XI di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam tadi.


ALOR STAR - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu para atlet kebangsaan diberi peluang menyertai Sukan Malaysia (Sukma) supaya temasya sukan dwitahunan itu diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurut Perdana Menteri, Majlis Sukan Negara (MSN) seharusnya mencari pendekatan supaya satu kategori khas diwujudkan bagi memberi peluang kepada atlet-atlet kebangsaan itu menguji kehandalan pada Sukma.

Jika tidak buat begini, atlet negara tidak mempunyai peluang untuk bersaing sesama mereka untuk memecahkan rekod antarabangsa walaupun dalam acara di peringkat nasional.

‘‘Jika dalam Sukma ada rekod-rekod antarabangsa seperti Sukan SEA atau Sukan Asia dapat dipecahkan, maka Sukma akan diakui di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Sukma XI di Stadium Darul Aman di sini semalam.

Berdasarkan peraturan Sukma sekarang, mereka (atlet) yang mewakili negara tidak layak sama sekali untuk bertanding dalam temasya sukan itu.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau difahamkan bahawa atlet kebangsaan tidak dibenarkan mengambil bahagian Sukma kerana menyebabkan atlet-atlet muda enggan menyertai temasya sukan itu.

‘‘Walaupun atlet kebangsaan dilibatkan dalam Sukma, atlet muda perlu terus diberi peluang untuk memperoleh pingat menerusi kategori tertentu,” katanya.

Selain itu, Abdullah turut meminta pihak universiti supaya mengambil bahagian dalam Sukma di masa akan datang bagi merancakkan lagi saingan.

Katanya, pihak universiti perlu memilih atlet mereka yang terbaik menerusi pertandingan sukan diadakan.

‘‘Universiti mempunyai kemudahan sukan yang mencukupi selain memiliki ribuan pelajar yang berkaliber dalam bidang sukan,” jelasnya.

Perdana Menteri menambah, pihak tentera juga disaran mengambil bahagian dalam Sukma akan datang memandangkan organisasi itu memiliki kemudahan sukan yang lengkap.

Sementara itu Sukma ke-11 melabuhkan tirainya dengan sekalung tahniah untuk tuan rumah, Kedah yang berjaya menganjurkannya dengan cemerlang biar pun terdapat sedikit kekurangan di sana-sini.

Kedah yang membelanjakan RM97 juta untuk menganjurkan Sukma yang mempertandingkan 29 acara daripada 26 jenis sukan itu kini boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negeri-negeri yang pernah menganjurkan temasya sebelum ini.

Sebagai sebuah negeri yang kurang aktif di bidang sukan, Sukma 2006 itu akan diingati sebagai yang pertama pernah dianjurkan Kedah.

Selepas lapan hari obor temasya bernyala megah, ia secara perlahan-lahan dipadamkan malam tadi sebagai tanda ucapan Selamat Tinggal Kedah dan disambut kata-kata Ju‘pe Mu di Nung (Jumpa Lagi di Terengganu) yang akan menjadi tuan rumah Sukma Ke-12, dua tahun dari sekarang.

Serentak dengan itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyerahkan bendera Sukma kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Idris Jusoh untuk memikul tanggungjawab seterusnya dalam menyediakan pentas melahirkan atlet pelapis negara.

Turut menyaksikan majlis tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wira Azalina Othman Said dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Acara penutup malam tadi bermula dengan ketibaan Perdana Menteri sebelum dihiburkan dengan persembahan aerobik dan gimnastik oleh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selangor diumumkan sebagai juara keseluruhan Sukma buat kali keenam berturut-turut untuk meneruskan penguasaan sebagai kuasa besar temasya sukan kebangsaan yang diadakan dua tahun sekali itu.

Turut menyerikan majlis malam tadi adalah penyanyi popular, Siti Nurhaliza yang menghiburkan kira-kira 60,000 penonton yang penuh sesak di Stadium Darul Aman.

Pungutan Pingat Keseluruhan
KONT.
MATA
 
SEL
629 53 44 56
 
SAR
507 36 42 55
 
PEN
480 36 40 52
 
PAH
426 39 36 32
 
PRK
415 37 25 33
 
KED
407 30 34 37
 
WP
369 25 31 35
 
SAB
318 26 26 29
 
JOH
255 19 18 28
 
NSE
234 20 16 25
 
TER
181 15 16 18
 
KEL
165 21 13 8
 
MEL
143 11 15 13
 
POL
63 2 9 7
 
PER
19 0 0 6
 
BRU
  0 3 5
 
 
 
WARTAWAN:  
MEOR HARMAN MEOR SHAKRI, MOHD. TAUFEK RAZAK, JOHARI SHAWAL, ZAID MOHD. NOOR, SHARIZA ABDULLAH, DIYANA ROSE KAMALLUDEEN, ROSMAWATI MION
 
JURUGAMBAR:  
AZMAN GHANI, IZHAM JAAFAR, ISMAIL KAMADIN
 
 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.