04/06/2006

Kaji semula peraturan Sukma

Kaji semula peraturan Sukma

MUKADIMAH
Sukan Malaysia (Sukma) XI melabuhkan tirainya hari ini selepas para atlet menuai pingat masing-masing sejak 24 Mei lalu. Bagi Kedah, sekalipun tidak menepati sasaran 48 emas, imej bersih sepanjang penganjurannya, cukup membanggakan rakyatnya.

Wartawan Mingguan Malaysia, YUSRI SAHAT menemu bual Ketua Pegawai Penyelaras Sukma XI, Mohamad Che Nai mengenai operasi sekretariat sepanjang temasya dwitahunan itu. Ikuti temu bual selanjutnya.

MINGGUAN: Sukma XI berjalan dengan jaya. Apakah langkah pihak sekretariat dalam menjadikannya yang paling berjaya.

MOHAMAD: Kami memberi tumpuan kepada aspek teknikal, pertandingan, operasi dan logistik. Banyak masalah dapat dikurangkan jika aspek ini diuruskan dengan baik. Paling mencabar ialah teknikal dan pertandingan kerana melibatkan persatuan sukan negeri dan penyediaan gelanggang. Sebanyak 23 jawatankuasa kecil dibentuk menanganinya.

MINGGUAN: Dengan jumlah kakitangan terhad, bagaimanakah sekretariat menyelaraskan tugas persatuan sukan dan jawatankuasa kecil?

MOHAMAD: Saya berpegang kepada konsep kualiti bukan kuantiti, sebuah pasukan yang kuat, dedikasi dan berpengalaman ketika Kejohanan Bola Sepak Dunia Belia 1997 di Alor Star, menembak Sukan Komanwel 1998, Ironman Langkawi dan tsunami di Kuala Muda. Ada juga dari kalangan tentera dan kakitangan serta pesara kerajaan.

MINGGUAN: Bagaimana dengan kontroversi penyertaan atlet dan sejauh mana peraturan Sukma dikuatkuasakan?

MOHAMAD: Setiap atlet mesti mendaftar sebelum menyertai Sukma secara on-line tetapi pertindihan pasti berlaku. Kes Linvern Lim timbul apabila Kedah dan Negeri Sembilan sama-sama mendaftarnya. MSN memutuskan Linvern milik Kedah sejak 18 April hingga 23 Mei lalu. Bagaimanapun MSN perlu mengkaji semula peraturan dan perundangannya atau menubuhkan jawatankuasa khas meneliti status atlet.

MINGGUAN: Apakah relevannya pihak sekretariat memilih media rasmi sama ada cetak atau elektronik. Apakah tidak mengundang kontroversi?

MOHAMAD: Sukma XI terlalu hampir dengan bola sepak Piala Dunia. Banyak penaja dan media mempromosi siaran langsungnya. Kami bimbang tiada liputan tentang Sukma yang akan mengecewakan kami lalu Utusan Malaysia dan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dipilih untuk menceriakan Sukma XI.

Saya rasa tindakan ini tidak mengundang kontroversi kerana kami mempunyai komitmen dengan penaja yang mahukan publisiti dan promosi tetap. Saya yakin kami telah melaksanakan tanggungjawab kami dengan penaja melalui sokongan semua media.

MINGGUAN: Persiapan Sukma rapi namun masih tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Bagaimana sekretariat menghadapinya?

MOHAMAD: Saya memberitahu anak buah saya mereka ialah antara 1.4 juta rakyat Kedah yang bertuah dan terpilih untuk mencatat sejarah hidup. Jika Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpuas hati, itu sudah cukup. Kami berkhidmat untuk negeri Kedah dan kepimpinannya.

Anak buah saya tahu - komplen, komen dan sebagainya ialah asam garam penganjuran temasya. Mereka ada hak untuk berkata dan menulis. Walaupun ada media membangkitkannya, saya pegang prinsip, kurang bercakap. Kami yang untung dan seronok bekerja.

MINGGUAN: Bagaimana anda melihat pencapaian atlet di Sukma kali ini?

MOHAMAD: Olahraga kelihatan tidak sehebat akuatik dalam Sukma tetapi kami tidak halang mana-mana atlet menyertainya asalkan berusia bawah 21 tahun termasuk yang pernah mewakili negara. Kami memang mahu melihat lebih banyak rekod baru.

Namun Kedah tidak menentukan siapa yang layak bertanding. Semuanya hak persatuan sukan kebangsaan. Tanyalah mereka dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atau Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).

Pungutan Pingat Keseluruhan
KONT.
MATA
 
SEL
629 53 44 56
 
SAR
507 36 42 55
 
PEN
480 36 40 52
 
PAH
426 39 36 32
 
PRK
415 37 25 33
 
KED
407 30 34 37
 
WP
369 25 31 35
 
SAB
318 26 26 29
 
JOH
255 19 18 28
 
NSE
234 20 16 25
 
TER
181 15 16 18
 
KEL
165 21 13 8
 
MEL
143 11 15 13
 
POL
63 2 9 7
 
PER
19 0 0 6
 
BRU
  0 3 5
 
 
 
WARTAWAN:  
MEOR HARMAN MEOR SHAKRI, MOHD. TAUFEK RAZAK, JOHARI SHAWAL, ZAID MOHD. NOOR, SHARIZA ABDULLAH, DIYANA ROSE KAMALLUDEEN, ROSMAWATI MION
 
JURUGAMBAR:  
AZMAN GHANI, IZHAM JAAFAR, ISMAIL KAMADIN
 
 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.