04/06/2006

Selangor juara Sukma XI

Selangor juara Sukma XI

JUARA... Para pemain dan pegawai pasukan Terengganu meraikan kemenangan mereka menewaskan Kedah dalam perlawanan akhir bola sepak Sukma XI, di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam tadi. Terengganu menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti..

ALOR STAR - Tuan rumah, Kedah gagal meraih emas apabila tewas 2-4 kepada Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir acara bola sepak Sukma XI di Stadium Darul Aman, semalam.

Kedah hampa gagal beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri apabila terikat 1-1 sehingga ke perlawanan masa tambahan.

Kejayaan Terengganu itu sekaligus membuatkan Kedah kempunan untuk mengulangi pencapaian 20 tahun lalu apabila meraih emas pada temasya 1986 di Kuala Lumpur.

Sambil itu gelaran juara keseluruhan Sukma XI sudah pasti menjadi milik Selangor ketika semakin banyak acara menutup gelanggang semalam.

Hari terakhir Sukma Kedah hari ini sekadar untuk mengesahkan mereka sebagai juara temasya dwitahunan ini buat kali keenam berturut-turut.

Semalam, Selangor mengaut dua pingat emas menerusi acara gimrama dan menyapu bersih empat pingat emas yang dipertandingkan dalam acara golf.

Skuad merah kuning yang mengumpul dua emas bagi kategori berpasukan dan individu keseluruhan kelmarin, mengaut dua lagi emas dalam acara individu menerusi Yap Lee Ya bagi aparatus gelung dengan 21.525 mata dan riben (20.750) dan Nur Hidayah Abd. Wahid bagi peralatan belantan dengan 21.300 mata.

“Ketika membuat persembahan, saya agak gementar lebih-lebih lagi kerana saya merupakan peserta akhir tetapi jurulatih (Afrita Ariany Nasril) sentiasa yakin yang saya boleh mendapatkan emas,” kata pelajar Sekolah Sukan Seksyen 11, Shah Alam, Nur Hidayah.

Sementara itu, Wilayah Persekutuan merampas satu emas menerusi Elaine Tan Ee Leng yang mengutip 20.850 mata bagi peralatan tali.

Sementara itu, skuad golf Selangor mengulangi pencapaian di Negeri Sembilan dua tahun lepas apabila meraih empat pingat emas yang di pertaruhkan di Kelab Golf & Country Darulaman di Jitra semalam.

Anis Helmi Abu Hassan menjuarai perseorangan lelaki untuk menyumbang emas pertama Selangor apabila mencatat enam atas par 222 selepas tiga pusingan.

Tiga pemain iaitu Alex Tiong dari Perak dan dua pemain Sarawak, Arvin Chong dan Edmund Au berkongsi 223 pukulan tetapi Alex diisytihar pemenang perak berdasarkan pukulan terendah pada hari terakhir manakala Arvin menerima gangsa.

Emas kedua Selangor disumbangkan oleh Erika Jamie dalam perseorangan wanita dengan catatan 12 atas par 228, dua pukulan di depan pemain Perak, Michele Ting (230) manakala Michelle Koh dari Pahang meraih gangsa (232).

Dua lagi emas Selangor dihasilkan dalam acara berpasukan lelaki dan wanita.

Anis Helmi mengutip pingat emas kedua peribadi apabila mengetuai pasukan lelaki Selangor merangkul juara selepas mengumpul 670 pukulan, 14 pukulan mengatasi Sabah (684).

Pasukan wanita Selangor mencatat 465 pukulan, dua pukulan di depan Pahang (467) manakala Sarawak (473) mengutip gangsa.

Sementara itu Wilayah Persekutuan unggul dalam acara karate-do apabila mengutip empat pingat emas apabila gelanggang acara itu di Dewan Lip Seang Kor, Sungai Petani ditutup semalam.

Wilayah Persekutuan turut meraih satu perak dan enam gangsa sepanjang tiga hari acara tersebut diadakan.

Mereka menambah dua lagi pingat emas semalam menerusi P. Pravitern bagi acara kumite lelaki (melebihi 80kg), menundukkan peserta Brunei, Mohd. Jamil Abd. Hamid dengan mata 3-0.

Atlet Pulau Pinang, Teh Chin Keong merangkul pingat gangsa selepas menewaskan atlet Perak, Andrian Chew dan atlet Kedah, Duffy Tan yang mengalahkan atlet Selangor, KC Inthiran.

Pingat emas kedua Wilayah Persekutuan menyusul menerusi V. Jayaseelan dalam acara kumite lelaki (tidak melebihi 80kg) selepas menewaskan atlet Brunei, Lim Hoi Siang 5-3 dalam perlawanan akhir.

Pingat gangsa diraih oleh atlet Polis, Md. Nuur Hafiz Mohd. Din yang mengalahkan atlet Terengganu, Mohd. Syafiq Ahmad Roseli dan atlet Pahang, Tiaga Raj yang mengenepikan atlet Johor, Yew Min Soon.

Sementara itu, Pulau Pinang juga berjaya mengutip tiga emas daripada enam pingat emas yang ditawarkan pada hari terakhir.

Emas pertama Pulau Pinang dimenangi oleh Lee Yuen Hoong menerusi acara kata wanita individu, menewaskan atlet Sabah, Zuzana Leong untuk pingat perak manakala atlet Wilayah Persekutuan, Chow Chai Fong dan atlet Pahang, Gan Siew Tian berkongsi gangsa.

Pulau Pinang mendapat pingat emas kedua melalui Wong Keng Yinn dalam acara kata lelaki individu selepas mengalahkan atlet Kedah, Wong Sui Wan manakala gangsa diraih oleh atlet Sabah, Leong Tze Wai dan atlet Brunei, Muhamad Fida Yi.

Pasukan kata wanita Pulau Pinang menambah emas ketiga, menewaskan Kedah untuk pingat perak dan gangsa dikongsi oleh Wilayah Persekutuan dan Perak.

Sabah memperoleh satu pingat emas dalam acara kata berpasukan lelaki.

Selain itu, Pahang mengutip dua pingat emas dan tiga pingat gangsa manakala Selangor pula satu pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa manakala Kedah mendapat satu pingat emas, tiga pingat perak dan dua gangsa serta Perak pula mengutip satu pingat emas dan dua gangsa.

Sarawak pula menutup tirai acara memanah Sukma XI Kedah dengan menyapu bersih dua acara terakhir yang dipertandingkan di lapang sasar Universiti Utara Malaysia di Sintok.

Kejayaan itu memastikan kontinjen Bumi Kenyalang mengesahkan gelaran sebagai juara keseluruhan acara itu.

Dua pingat emas itu digondol menerusi acara berpasukan pusingan Olimpik lelaki dan wanita untuk Sarawak mengumpul keseluruhan enam emas, satu perak dan empat gangsa dan mengutip 50 mata.

Pungutan Pingat Keseluruhan
KONT.
MATA
 
SEL
629 53 44 56
 
SAR
507 36 42 55
 
PEN
480 36 40 52
 
PAH
426 39 36 32
 
PRK
415 37 25 33
 
KED
407 30 34 37
 
WP
369 25 31 35
 
SAB
318 26 26 29
 
JOH
255 19 18 28
 
NSE
234 20 16 25
 
TER
181 15 16 18
 
KEL
165 21 13 8
 
MEL
143 11 15 13
 
POL
63 2 9 7
 
PER
19 0 0 6
 
BRU
  0 3 5
 
 
 
WARTAWAN:  
MEOR HARMAN MEOR SHAKRI, MOHD. TAUFEK RAZAK, JOHARI SHAWAL, ZAID MOHD. NOOR, SHARIZA ABDULLAH, DIYANA ROSE KAMALLUDEEN, ROSMAWATI MION
 
JURUGAMBAR:  
AZMAN GHANI, IZHAM JAAFAR, ISMAIL KAMADIN
 
 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.