28/05/2006

Sukma XI gemilang

Sukma XI gemilang

KONTINJEN tuan rumah Sukma XI, Kedah melintasi pentas diraja pada majlis perasmian sukan dwi tahunan itu di Stadium Darulaman, Alor Star semalam.

ALOR STAR - Sukan Malaysia (Sukma) XI dibuka secara rasmi malam tadi dengan penuh gilang gemilang dan warna-warni oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Stadium Darul Aman di sini.

Dengan disaksikan 60,000 penonton yang bersesak-sesak memenuhi stadium dan disiarkan secara langsung ke seluruh negara, temasya dwi tahunan itu dimeriahkan lagi dengan pertunjukkan bunga api sebaik ia dibuka secara rasmi.

Turut hadir menyaksikan majlis perasmian itu ialah Sultanah Kedah, Raja Muda Kedah, anak-anak baginda, Tunku Puan Soraya dan Tunku Puteri Intan Safinaz, Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wira Azalina Othman Said.

Ternyata sambutan hebat yang diberikan penduduk Kedah begitu terserlah apabila mereka datang daripada seluruh pelosok negeri untuk memberikan sokongan terhadap Sukma yang pertama kali diadakan di sini.

Yang tua datang berkeluarga manakala yang muda ada sanggup datang dengan berbasikal daripada kampung-kampung sekitar bandar raya ini semata-mata untuk menyaksikan sendiri kemampuan Kedah menganjurkan temasya tersebut selepas melalui detik memalukan kerana pernah menarik diri menjadi tuan rumah pada tahun 1996.

Majlis perasmian dimulakan dengan perarakan masuk Sultan Kedah yang dibawa menaiki kereta vintaj ke dalam stadium sambil diiringi 100 murid daripada tiga sekolah rendah sekitar Alor Star.

Ini diikuti dengan persembahan selamat datang oleh 1,500 pelajar daripada sembilan sekolah menengah dan perarakan masuk 16 kontinjen negeri membabitkan 10,000 atlet dan pegawai yang mengambil bahagian.

Kemuncak kepada majlis perasmian malam tadi ialah perarakan masuk watikah perisytiharan oleh seorang puteri yang dibawa dengan tandu oleh empat hulubalang berpakaian lengkap untuk diserah dan dibacakan Sultan Kedah sebagai tanda perasmian Sukma edisi ke-11 ini.

Bekas pemain sepak takraw Kedah era 60-an, Brig. Jen.(B) Datuk Husainay Hashim diberi penghormatan menyalakan obor Sukma sambil diiringi bekas jaguh-jaguh sukan Kedah antaranya Adnan Saidin, Zabidi Sharif (sepak takraw), Sajaratudur Hamzah, Romzi Bakar (olahraga), Beh Lee Wei, Beh Lee Fong (ping pong), Goi Ghaik Lim (menembak), M. Mahendran, S. Subramaniam (hoki) dan Radhi Mat Din (bola sepak).

Serentak dengan itu, percikan bunga api menghiasi ruang udara stadium sambil disambut dengan sorakan dan tepukan daripada kontinjen dan penonton yang hadir.

Majlis perasmian malam tadi turut diserikan persembahan koir dan pertunjukan grafik manusia oleh 1,000 penuntut Institut Perguruan Darul Aman dan Politeknik Sultan Abdul Halim Jitra.

Penonton turut dihiburkan oleh persembahan khas seni bertajuk Gemilang Budaya Kedah Darul Aman yang diketuai komposer terkenal Pak Ngah serta artis undangan seperti Erra Fazira, Zahid AF2, Amylea AF3 dan Exist.

Sebanyak 369 pingat emas ditawarkan pada Sukma kali ini membabitkan 29 acara daripada 26 jenis sukan yang dipertandingkan.

Acara-acara tersebut ialah angkat berat, badminton, bola jaring, bola keranjang, berbasikal, bola sepak, boling padang, gimrama, gimnastik, golf, hoki, karate-do, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, ragbi, sepak takraw, silat olahraga, taekwondo, tinju, tenpin boling, renang, terjun dan wushu.

Tuan rumah bagaimanapun menerima tamparan hebat pada hari keempat Sukma XI apabila ditarik balik satu pingat emas manakala juara keseluruhan bertahan, Selangor semakin hampir untuk muncul juara buat kali keenam berturut-turut.

Selangor yang muncul juara lima temasya lalu sejak edisi 1996 di Pahang menang tiga lagi pingat emas daripada enam yang ditawarkan semalam.

Dua pingat emas Selangor diperoleh daripada acara taekwondo menerusi Nurul Nadia Mohamat (featherweight 55-59kg) wanita dan Ryan Chong (flyweight 54-58 kg) lelaki. Emas ketiga dirangkul oleh Mohd. Akmal Amrun dalam acara berbasikal 1,000 meter pecut lelaki.

Baki tiga pingat emas semalam direbut oleh Terengganu dalam acara berbasikal, Pulau Pinang (taekwondo) dan Sabah (taekwondo).

Selangor kini menduduki tangga teratas pungutan mata (147 mata) melalui kutipan 15 emas, 10 perak dan 14 gangsa, diekori rapat oleh Pulau Pinang dengan 142 mata (14 emas, lapan perak, 15 gangsa) dan Sarawak dengan 109 mata (sembilan emas, 11 perak dan lapan gangsa).

Kedah menerima berita malang apabila pingat emas yang dimenangi oleh Linvern Lim daripada acara renang kuak lentang 50 meter lelaki pada hari pertama Sukma ditarik balik kerana dia masih merupakan perenang Negeri Sembilan.

Dia juga menang gangsa dalam acara 200m kuak lentang.

Pungutan Pingat Keseluruhan
KONT.
MATA
 
SEL
629 53 44 56
 
SAR
507 36 42 55
 
PEN
480 36 40 52
 
PAH
426 39 36 32
 
PRK
415 37 25 33
 
KED
407 30 34 37
 
WP
369 25 31 35
 
SAB
318 26 26 29
 
JOH
255 19 18 28
 
NSE
234 20 16 25
 
TER
181 15 16 18
 
KEL
165 21 13 8
 
MEL
143 11 15 13
 
POL
63 2 9 7
 
PER
19 0 0 6
 
BRU
  0 3 5
 
 
 
WARTAWAN:  
MEOR HARMAN MEOR SHAKRI, MOHD. TAUFEK RAZAK, JOHARI SHAWAL, ZAID MOHD. NOOR, SHARIZA ABDULLAH, DIYANA ROSE KAMALLUDEEN, ROSMAWATI MION
 
JURUGAMBAR:  
AZMAN GHANI, IZHAM JAAFAR, ISMAIL KAMADIN
 
 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.