Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


14/03/2010

Ah Lek sokong pencalonan Ka Ting

Ah Lek sokong pencalonan Ka Ting

KUALA LUMPUR 13 Mac - Bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lim Ah Lek hari ini menyatakan sokongan terhadap pencalonan Tan Sri Ong Ka Ting untuk memimpin semula parti itu.

Ah Lek berkata, beliau yakin Ka Ting mampu mengembalikan semula demokrasi serta meletakkan MCA pada landasan yang betul.

Menurutnya, ramai ahli parti itu dan pemimpin masyarakat Cina mahu Ka Ting memimpin semula MCA demi kepentingan Barisan Nasional (BN) dan rakyat negara ini.

Jelasnya, beliau sentiasa memantau perkembangan dan krisis dalaman MCA yang menyebabkan reputasi parti itu semakin terjejas ketika ini.

"Saya berasa sedih kerana mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober lalu bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman, malah imej parti terus merosot.

"Walaupun pucuk pimpinan berjanji akan akur dengan keputusan EGM itu, mereka sebenarnya bertindak mengetepikan suara perwakilan pada mesyuarat tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ah Lek menjadi Timbalan Presiden MCA ketika parti itu diterajui oleh Tun Dr. Ling Liong Sik.

Beliau dan Liong Sik berundur dan menyerahkan kuasa kepimpinan parti itu kepada Ka Ting dan Tan Sri Chan Kong Choy yang menyandang Timbalan Presiden MCA.

Ketika itu, Ka Ting dianggap anak didik dan mewakili kumpulan Liong Sik manakala Kong Choy pula di pihak Ah Lek.

Menurut Ah Lek, krisis dalaman MCA terus berlarutan apabila pertelingkahan antara pucuk pemimpin tertinggi dibuat secara terbuka selepas EGM Oktober lalu.

Ah Lek berkata, tindakan pucuk pemimpin tertentu bukan sahaja telah menghina maruah dan hak para perwakilan MCA malah merosakkan sistem demokrasi yang sentiasa diamalkan oleh parti tersebut.

"Pertelingkahan mereka telah menyebabkan reputasi dan integriti MCA menjadi lebih buruk sehingga masyarakat Cina berasa kecewa terhadap kita (MCA)," katanya.

Dalam pada itu, katanya, walaupun beliau menerima banyak permintaan agar menyokong Datuk Seri Ong Tee Keat pada pemilihan baru 28 Mac ini tetapi beliau tetap merasakan Ka Ting merupakan calon terbaik bagi menyatukan semula MCA.

"Saya tahu keputusan ini merupakan keputusan yang sukar bagi pucuk pemimpin MCA terutamanya Tee Keat.

"Namun, saya berharap Tee Keat faham dan anggap keputusan ini sebagai tanggungjawab dan misi untuk menyelamatkan MCA," katanya.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing