Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


18/09/2009

MIC nafi diam diri

MIC nafi diam diri

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu hari ini menegaskan, MIC tidak berdiam diri sebaliknya telah melakukan pelbagai program untuk mendekati rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Port Dickson.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan bahawa pihaknya belum bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang.

Sebaliknya, jelas beliau, jentera MIC peringkat negeri dan pusat telah mula turun padang sejak Selasa lalu untuk melawat setiap peti undi dan bilik gerakan.

Tambahnya, malah dalam tempoh itu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan naib presiden, Datuk Dr. S. Subramaniam sendiri turut menyertai program-program yang diaturkan.

''Kita bergerak berjumpa dengan semua Ketua MIC Cawangan dan pengurus-pengurus estet mulai pukul tiga petang hingga 10 malam.

''Semalam, Datuk G. Palanivel (timbalan presiden) dan Datuk Dr. S. Subramaniam juga bermesyuarat dengan 15 ketua cawangan bagi mendapat penjelasan dan menerima maklum balas mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ibrahim semalam yang dilaporkan berkata, Pemuda BN akan terus mendekati pengundi India walaupun MIC tidak sempat mempersiapkan jentera mereka menjelang hari penamaan calon.

Menurut Razali, jika MIC tidak dapat membantu, pihaknya akan menggunakan jentera Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) bersama UMNO serta parti lain untuk berkempen pada pilihan raya kecil berkenaan.

Dalam pada itu, Rajagopalu menegaskan, pihaknya telah mendekati 420 pengundi India di Ladang Atherton, Ladang Bradwall (313), Ladang Suabetong (573), Pekan Seliau (557), Taman Eastern (90), Kampung Bagan Pinang (500), Sirusa (219) dan Teluk Kemang (165).


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing