Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


05/11/2008

UMNO Larut tetap tolak Hamzah

UMNO Larut tetap tolak Hamzah

IPOH 4 Nov. - UMNO Bahagian Larut tetap dengan keputusan menolak pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding Ketua UMNO bahagian berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainudin Raja Omar berkata, ia bagi mematuhi pekeliling yang dikeluarkan Ibu Pejabat UMNO yang mensyaratkan sebarang pertukaran keahlian perlu dibuat sebelum akhir 2007.

Beliau berkata, keputusan tersebut akan dipertahankan sebelum satu kata putus diberikan tentang kedudukan pencalonan Hamzah oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

''Apa yang kita tahu, pertukaran keahlian Hamzah berlaku pada April lalu yang dikatakan didaftar melalui cawangan Sungai Bayur dan ia di luar pengetahuan bahagian.

"Macam mana masuk kejap dalam bahagian ini boleh bertanding?

''Bantahan kita ini bukan dibuat baru-baru ini malah ia dibuat semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi datang ke Ipoh dan Hamzah sendiri ada menyatakan bahawa dia tidak bertanding dalam pemilihan parti kali ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

UMNO Bahagian Larut sebelum ini sebulat suara menolak pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian itu setelah mendapati Hamzah tidak layak bertanding kerana menjadi ahli UMNO bahagian selepas 31 Disember 2007, sekali gus melanggar pekeliling yang dikeluarkan oleh UMNO Pusat.

Raja Ahmad berkata, untuk menyelesaikan kemelut ini, beliau memohon penangguhan persidangan perwakilan UMNO bahagian ke tarikh baru yang akan ditetapkan kemudian.

Bagaimanapun katanya, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Larut tetap mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing Sabtu ini.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing