Utusan Online
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


04/09/2008

MT perlu bertindak segera

MT perlu bertindak segera

Oleh ZULKIFLI JALIL


Rais Yatim

PUTRAJAYA 3 Sept. - Majlis Tertinggi (MT) UMNO digesa melakukan 'sesuatu yang drastik' bagi membendung kejutan-kejutan di luar budaya parti itu yang semakin membimbangkan dan dikhuatiri petanda 'keranapan' parti pejuang kemerdekaan negara itu.

Ahli MT, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau terpanggil mengeluarkan gesaan itu kerana ahli UMNO kini tidak lagi menampilkan sifat budaya keMelayuan apabila banyak peristiwa tidak diingini berlaku semasa dan menjelang pemilihan tertinggi parti.

Antara yang cukup membimbangkan, kata beliau, ialah penggunaan wang yang berleluasa dan keterlaluan untuk melobi pencalonan, rasuah melibatkan tangkapan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pergaduhan besar sesama ahli hanya kerana mengejar jawatan.

''Bukan itu sahaja, ada ahli UMNO juga melakukan kejutan vandalisme, kalau ada poster parti lawan...ia dipotong.

''Di Segamat pula, ahli UMNO bergaduh hingga patah kerusi semasa mesyuarat cawangan. Pemilihan parti lebih sengit daripada pilihan raya. Ini berlaku di kebanyakan tempat di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

''Yang jelas ialah pengawasan UMNO di peringkat negeri tidak mampu... Jadi, lekas-lekaslah MT ambil tindakan agar semangat silaturrahim ini segera dipulihkan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais merujuk kebimbangannya itu terhadap beberapa insiden melibatkan ahli UMNO yang dipercayai ada kaitan dengan usaha mengejar jawatan dan melobi pencalonan pada pemilihan parti.

Terbaru di Kota Bharu hari ini, Ketua UMNO Cawangan Limau Manis, Datuk Azaha Abdul Rani, cedera parah disimbah asid oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di pekarangan rumahnya di Kampung Chekok, Panji, dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Azaha, 48, yang mengalami lecur di muka dan badan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan stabil.

Semalam, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Noor Awang, 47, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merasuah Ketua Cawangan UMNO Taman Zaiton Indah, Sikamat Rezwat Shahril Zainal Ariffin supaya mencalonkannya untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Semalam juga menyaksikan kejadian pembunuhan Timbalan Ketua UMNO cawangan Bukit Merah, Taib Ali, 61, yang mati ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di hadapan sekolah anaknya di Jalan Gunung Semanggol-Bukit Merah.

Bagaimanapun polis masih menyiasat motif pembunuhan itu.

Beberapa insiden pertelingkahan termasuk kejadian membaling kerusi dan penggunaan wang juga dilaporkan berlaku semasa mesyuarat cawangan baru-baru ini.

Banyak pihak percaya ia akan menjadi semakin hangat menjelang pemilihan peringkat bahagian bulan depan dan pusat Disember ini.


IKLAN@UTUSAN
 

IKLAN@UTUSAN