Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


06/03/2008

Azmi rancang cara terbaik tingkat taraf hidup rakyat

Azmi rancang cara terbaik tingkat taraf hidup rakyat


Dr. Azmi Setapa

BIAR sejauh mana beliau pergi dan setinggi mana pencapaian hidupnya, seperti seluang yang melaut, Dr. Azmi Setapa tetap mengingati Ayer Lanas, tanah kelahiran dan akhirnya pulang menetap bersama masyarakat.

Azmi, 48, muka baru yang dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas yang dimenangi BN itu yakin jika kepercayaan diberikan kepadanya, beliau tidak akan menghampakan mereka.

“Banyak yang masih boleh dilakukan demi kebaikan atau faedah kepada masyarakat dan saya akan mengambil perhatian terhadap segala permasalahan tanpa mengambil kira fahaman politik,” ujarnya.

Azmi, yang berwajah tenang itu adalah Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

“Saya diasuh pendekatan politik penuh kesederhanaan di bawah Tok Pa dan akan menggunakan ilmu pengetahuan, kemahiran dalam bidang ekonomi untuk memikir cara paling berkesan meningkatkan taraf hidup rakya,” katanya.

Beliau yang ditemui semasa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir kilat di Pusat Kegiatan Ummah (PKU) Jeli, baru-baru ini menyatakan rasa terharu kerana pimpinan parti memberi kepercayaan kepadanya `menawarkan diri' kepada masyarakat.

Menyingkap latar kehidupannya, kepayahan masa silam cepat mendewasakan beliau dan gigih belajar dengan peluang yang disediakan kerajaan memastikan nasib keluarga berubah.

“Keutamaan mengubah kehidupan masyarakat tentunya melalui pelajaran bagi anak-anak dan ilmu pengetahuan, kemahiran dalam pelbagai bidang agar mereka berusaha dengan peluang yang tersedia,” ujarnya.

Justeru setelah tamat pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1984, beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Glasgow, Scotland (1986) dan Universiti Exeter, England (1993).

Beliau menjadi pensyarah di Universiti Utara Malaysia pada 1994, seterusnya Pengarah Ekonomi di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan (NCCIM) pada 1995 dan Pengarah Eksekutif di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Cawangan Kuala Lumpur) pada 1996.

Semasa bertugas sebagai Ketua Bahagian Kajian Dasar di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) beliau dilantik oleh Mustapa yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, untuk menjadi Perunding Kumpulan Globalisasi dan Agenda Melayu di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada tahun 2005.

Ditanya mengenai peluangnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu ini di mana beliau akan berhadapan dengan calon Pas, Abdullah Ya'kub, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk pertimbangan terbaik.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing