Utusan Online
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


05/03/2008

Isu pendidikan tumpuan Pirdaus di Permatang Pauh

Isu pendidikan tumpuan Pirdaus di Permatang Pauh

Oleh ZULKIFLI JALIL


Pirdaus Ismail

GERAI No.40 Wan Zai di Bandar Perda, Bukit Mertajam tidak putus-putus dikunjungi pelanggan. Entah apa rahsia resipi rempah ratusnya, ikan bawal goreng di situ diakui keenakannya.

Saban hari dari pukul 10 pagi hingga 5 pagi - pekerjanya hanya rehat 5 jam - gerai Wan Zai terus dibanjiri ramai. Lebih-lebih lagi semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 ini dengan kelibat pelanggan turut meliputi para penyokong parti-parti politik - tidak ketinggalan petugas media.

Gerai Wan Zai, antara petunjuk kecil bahawa Bukit Mertajam bukan lagi 'bandar mati' sebaliknya kian berkembang pesat. Arus kepesatannya turut menempias kawasan Parlimen Permatang Pauh - kerusi panas yang menjadi perhatian pemerhati politik dan rakyat seluruh negara ketika ini.

Ironinya seperti Bukit Mertajam, tiada isu pembangunan di Permatang Pauh. Sebutlah apa sahaja kemudahan dan prasarana. Semuanya tersergam. Daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), politeknik sehinggalah pasar, pusat tuisyen, tempat beristirehat dan taman permainan kanak-kanak.

''Kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan penduduk Permatang Pauh meskipun sudah sembilan tahun di bawah pembangkang. Begitupun, apa yang dikehendaki oleh penduduk termasuk pengundi sekarang ialah bukti dan komitmen perkhidmatan wakil rakyatnya."

Begitulah reaksi Datuk Pirdaus Ismail, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh ketika ditemui Utusan Malaysia selepas mengunjungi Kampung Lobak yang didiami masyarakat Cina di Bukit Mertajam kelmarin.

Pirdaus berkata beliau tidak kecewa apabila tewas tipis 590 undi kepada Parti Keadilan pada pilihan raya umum lalu. ''Saya anggap ia satu takdir dan sebenarnya banyak iktibar yang saya peroleh. Antaranya, saya mesti bekerja lebih kuat untuk memupuk dan mengukuhkan kepercayaan pengundi kepada BN," katanya.

Hikmahnya, sebaik sahaja keputusan pilihan raya 21 Mac 2004 diumumkan, Pirdaus tidak duduk diam. Beliau terus menyelami permasalahan penduduk Permatang Pauh yang berjumlah 58,449, sebahagian besarnya iaitu 40,619 orang Melayu.

Di sebalik semua ini, kedudukan sebagai pegawai khas kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein seolah-olah memberi kelebihan kepada beliau untuk membantu memanjangkan masalah persekolahan yang dihadapi penduduk untuk diberi perhatian sekali gus disegerakan penyelesaiannya oleh kementerian.

''Seolah-olah saya menjadi penghubung di antara mereka kepada kementerian. Alhamdulillah, banyak masalah yang dihadapi oleh pentadbiran sekolah pondok, sekolah agama, sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah dipermudahkan penyelesaiannya," kata Pirdaus.

Sepanjang empat tahun ini, banyak peruntukan bernilai ratusan ribu ringgit disalurkan oleh kementerian kepada sekolah-sekolah sekitar Permatang Pauh dan Bukit Mertajam. Penat jerih Pirdaus berhasil.

Sambil menyatakan rasa syukur kerana dicalonkan semula untuk mencabar penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Pirdaus berkata, sokongan padu daripada penduduk semakin ketara kepada BN termasuk daripada pengundi atas pagar. Beliau yakin kerusi tersebut akan kembali ke pangkuan BN pada tarikh 8 Mac ini.

Selain pertemuan Pirdaus dengan Wan Azizah, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah dan DUN Penanti, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid masing-masing dicabar oleh calon PKR, Ramli Bulat dan Muhammad Fairuz Khairuddin.

Calon Pas, Hamdan Abdul Rahman yang menjadi wakil rakyat DUN Permatang Pasir sejak dua penggal lalu, akan mempertahankan kerusi itu dan kali ini dicabar oleh calon BN, Ahmad Sahar Shuib.

Pertarungan di kawasan yang sebelum ini menjadi kubu kuat UMNO itu menjadi tumpuan ramai kerana keputusannya akan menentukan survival PKR. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 sebelum dipecat dari Kabinet dan UMNO pada 1998.

Pirdaus yang meredah hujan lebat di Kampung Lobak ketika ditanya sekali lagi peluangnya Sabtu ini, berkata: ''Orang gelar saya YBK (Yang Berhormat Kalah) tetapi saya percaya Tuhan bersama saya. Dan jika ditakdirkan saya menang, saya berjanji akan sentiasa berada di sini untuk menyelesaikan masalah rakyat.

''Perkara pertama yang akan saya lakukan selepas menang ialah untuk terus membantu meningkatkan kualiti dan prasarana sekolah-sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil."

Kelibat bekas Imam Masjid Negara akan terus kelihatan dari pagi sehingga dini hari di Permatang Pauh. Seperti pekerja gerai 40 Wan Zai, Pirdaus lebih bersengkang mata.

Beliau mengakui hanya lena dua jam sehari.


IKLAN@UTUSAN
 

IKLAN@UTUSAN