Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


04/03/2008

Othman sebati dengan masyarakat Sik

Othman sebati dengan masyarakat Sik


Datuk Othman Desa

SIK 3 Mac - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sik, Datuk Othman Desa mahu membalas kepercayaan para pengundi di kawasan itu dengan membangunkan kawasan berkenaan jika dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Sambil menyifatkan sokongan masyarakat ke atas beliau sebagai sesuatu yang cukup berharga, Othman berkata, masyarakat pelbagai kaum di Sik juga menerima BN dengan cukup baik.

Katanya, hanya BN yang mampu mengubah nasib mereka dan juga memastikan kawasan berkenaan keluar daripada kemunduran.

''Setakat ini, penerimaan masyarakat cukup baik terhadap saya. Terima kasih kerana memberikan sokongan. Saya percaya mereka (masyarakat) memberikan sokongan demi kemajuan Sik," kata beliau.

Dalam pilihan raya kali ini, Othman akan ditentang oleh calon Pas, Che Uda Che Nik dalam pertarungan satu lawan satu di Parlimen Sik.

Menurut Othman, beliau tidak kekok untuk berbakti kepada masyarakat Sik kerana kawasan berkenaan sebelum ini pun bagaikan rumahnya kerana pernah berkhidmat di kawasan berkenaan.

''Saya pernah berkhidmat di Sik. Bayangkan dalam tempoh 11 tahun, saya kerap di Sik ketika menjadi Setiausaha Politik kepada Tan Sri Hamid Othman (sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

''Jadi, tidak ada sebab saya sukar untuk mendekati masyarakat di sini dan memberikan sesuatu yang mereka mahukan," kata beliau.

Othman berkata, Sik sebenarnya begitu berpotensi untuk dibangunkan sebagaimana tempat-tempat lain di negara ini menerusi BN yang sudah terbukti dapat meyakinkan rakyat.

''Saya percaya masyarakat di Sik sudah yakin dengan BN dan mahu melihat kawasan ini setanding tempat-tempat lain atau lebih maju. Ini yang menjadikan mereka memilih BN," katanya.

Othman juga meminta masyarakat di Sik tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sering menabur tohmahan bagi tujuan kepentingan mereka.

''Di Sik semua lapisan masyarakat tidak mempunyai masalah, mereka boleh menerima saya dan BN, cuma pembangkang yang sering membuat tohmah macam- macam tetapi dapatkah mereka memberi jaminan untuk memberikan pembangunan kepada penduduk.

''Biarlah mereka berbuat begitu kerana bagi saya apa lebih penting ialah kemajuan masyarakat dan kawasan ini perlu diutamakan dan mereka (masyarakat) sendiri boleh menilai," kata beliau.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing