Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


23/02/2008

Zulkiflee ganti Jasmin di Sungai Dua lepas 3 jam diumum

Zulkiflee ganti Jasmin di Sungai Dua lepas 3 jam diumum

KEPALA BATAS 22 Feb. - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Zulkiflee Yahya (gambar) dicalonkan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua menggantikan calon awal Datuk Jasmin Mohamed yang digugurkan kira-kira tiga jam selepas diumumkan.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Azhar Ibrahim pada majlis penyampaian watikah pelantikan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12 di Dewan UMNO di sini malam ini.

Keputusan pertukaran itu diumumkan pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Menurut Azhar, pertukaran itu adalah perkara biasa walaupun keputusan mengenai senarai calon dilakukan malam semalam di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

''Badan Perhubungan UMNO Negeri menerima maklumat mengenai pertukaran itu dan kemudian kita tukarkan,'' katanya ketika ditemui di sini malam ini.

Jasmin merupakan penyandang kerusi DUN Sungai Dua selama tiga penggal berturut-turut.

Menurut Azhar, selepas ini, tidak akan berlaku lagi pertukaran calon memandangkan watikah pelantikan telah disampaikan kepada calon.

Sementara itu, Zulkiflee, 45 berkata, beliau terkejut dengan pelantikan itu dan hanya mengetahui mengenainya lima minit sebelum pengumuman nama calon dilakukan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding pada pilihan raya kali ini dan akan berusaha mengekalkan kerusi yang disandang oleh Jasmin.

''Saya tidak boleh berkata banyak kerana masih terkejut,'' katanya.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing