Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


18/02/2008

MCA gugur 40 muka lama

MCA gugur 40 muka lama

KUALA LUMPUR, 16 Feb. - Hampir 40 muka lama MCA yang kini menyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri dipercayai akan digugur bagi memberi laluan kepada muka baru.

Menurut sumber dalaman parti itu keputusan drastik itu diputuskan melalui satu perbincangan hari ini di kalangan pemimpin utama parti itu bersama Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Sumber berkata mereka yang digugur itu telah dimaklumkan melalui telefon berhubung keputusan pucuk pimpinan oleh Ong sendiri yang meminta mereka menghormati keputuan tersebut bagi kepentingan bersama.

"Kebanyakan mereka telah dimaklumkan mengenai perkara itu hari ini. Ini bagi membolehkan mereka menarik diri sebagai calon secara terhormat sebelum senarai muktamad calon MCA diserah kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) Isnin ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara mereka yang digugur itu ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Wong Kam Hoong (Parlimen Bayan Baru) di Pulau Pinang dan Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Paduka Tan Yee Kew (Klang), Selangor.

Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Hoo Seong Chang iaitu anggota Parlimen Kluang, di Johor diminta untuk bertanding bagi kerusi DUN pada pilihan raya ini.

Selain itu, Bernama juga difahamkan beberapa pemimpin veteran MCA termasuk bekas Setiausaha Agung MCA Tan Sri Dr Ting Chew Peh (Gopeng), Perak bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng (Bakri), Johor bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Loke Yuen Yeow (Tanjung Malim) Perak dan bekas naib presiden MCA Datuk Yap Pian Hon (Serdang) Selangor turut digugurkan.

Beberapa anggota Exco di beberapa negeri juga dimaklumkan berhubung keputusan parti menggugurkan mereka terdiri daripada Datuk Tang See Hang (Selangor), Datuk Freddie Long (Johor), Datuk Chong It Chew (Kedah) dan Datuk Seah Kwi Tong (Melaka).

Berikutan keputusan itu, beberapa anggota Exco juga akan diminta bertanding bagi kerusi Parlimen antaranya Datuk Ch'ng Toh Eng (Selangor) dan Datuk Koay Kar Huah (Pulau Pinang).

Menurut sumber itu Datuk Ch'ng bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Klang, Selangor manakala Koay bagi kerusi Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Sumber itu berkata kebanyakan yang digugurkan itu adalah kalangan mereka yang telah berkhidmat melebihi tiga penggal pilihan raya.

Bagaimanapun terdapat mereka yang hanya baru dipilih sebagai wakil rakyat selama satu penggal turut tidak dicalonkan seperti penyandang Parlimen Kelana Jaya, Selangor, Loh Seng Kok yang akan digantikan oleh ADUN Subang Jaya Datuk Lee Hua Beng.

- Bernama


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing