Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


18/02/2008

Shah Alam tetap tolak

Shah Alam tetap tolak

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM 17 Feb. – UMNO Bahagian Shah Alam menyuarakan permintaan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) agar calon yang bertanding di kawasan itu dipilih daripada kalangan pemimpin UMNO bahagian itu sendiri.

Sebelum ini UMNO Bahagian Shah Alam telah menyuarakan permintaan mereka melalui satu memorandum kepada Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pada 17 Disember lalu.

Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Calon Parlimen Shah Alam Pilihan Raya Umum ke-12, Mohd. Azhar Othman berkata, permintaan dan gesaan itu dibuat sekali lagi kerana terdapat kemungkinan calon yang akan bertanding sebagai Ahli Parlimen Shah Alam kali ini bukan daripada kalangan pemimpin UMNO Shah Alam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Shah Alam berkata, kemungkinan itu cukup merisaukan ahli-ahli peringkat akar umbi UMNO bahagian itu yang sememangnya tidak mahu calon ‘Ahli Parlimen Payung Terjun’ untuk kali yang kelima.

“Di sini, kami ingin menegaskan bahawa kami sudah tidak rela lagi menerima calon yang bukan dari Bahagian Shah Alam.

“Seperti yang berlaku sekarang dan yang telah lepas, kehadiran mereka ini tidak merangsang perkhidmatan yang berkualiti dan efektif kepada masyarakat Shah Alam yang telah memberikan mandat dan kepercayaan kepada mereka.

“Malah kehadiran mereka pernah menyebabkan UMNO Bahagian Shah Alam berpecah dua,” kata beliau yang mewakili jawatankuasa itu yang terdiri daripada ahli peringkat akar umbi UMNO Shah Alam.

Turut hadir ialah dua lagi ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Shah Alam iaitu Yahya Abd. Halim dan Zulkifli Abd. Rahman; Penolong Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, Rodziah Ahmad; Exco Pemuda Shah Alam, Norzaiful Alfidz Md. Noordin dan ramai lagi.

Sebelum ini empat Ahli Parlimen yang bukan daripada kalangan pemimpin UMNO Bahagian pernah menduduki kerusi Parlimen Shah Alam iaitu Liew Sip Hon, Datin Paduka Rahmah Othman, Datin Paduka Rakibah Manap dan yang terkini Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin.

Bagaimanapun, kata Mohd. Azhar, sebagai ahli parti yang bertanggungjawab, beliau dan ahli-ahli UMNO Bahagian Shah Alam yang lain akan sentiasa akur dengan segala keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Namun, kami juga berhak untuk menyatakan pendirian, aspirasi dan sentimen kami serta para pengundi.

“Kami amat berharap agar permintaan dan gesaan kami ini diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya oleh pucuk pimpinan BN dan UMNO,” katanya sambil menegaskan beliau tidak bermaksud untuk melawan pucuk pimpinan tetapi hanya menyuarakan permintaan sebelum keputusan nama calon yang bertanding diputuskan.

Tambahnya, UMNO Bahagian Shah Alam tidak pernah ketandusan pemimpin yang berkebolehan untuk diketengahkan sebagai Ahli Parlimen.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing