Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


15/02/2008

Kelab Setiausaha Politik sokong semua calon BN

Kelab Setiausaha Politik sokong semua calon BN

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Kelab Setiausaha Politik hari ini menyuarakan sokongan dan kesediaan mereka untuk berada di belakang semua calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-12 ini.

Presidennya, Datuk Othman Desa berkata, seramai 72 ahli kelab itu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan bekerja keras dalam memastikan kemenangan besar BN kali ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menambah, bagi menyatakan sokongan itu, kesemua ahli kelab tersebut akan dipastikan turun padang bagi menyampaikan agenda BN kepada rakyat.

''Sokongan ini juga sebagai tanda terima kasih kepada BN yang secara jelas sejak 50 tahun lepas berjaya membangunkan negara dan membawa kesenangan kepada rakyat keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengenalan buku tulisannya yang berjudul BN Tetap Pilihan Yang Terbaik di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata, penyediaan buku itu dapat membantu kempen memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kali ini.

Buku tersebut yang akan diedarkan secara percuma menerusi agensi penerangan UMNO di seluruh negara antara lain mengupas mengenai beberapa perkara dalam politik negara yang menjadikan BN sebagai sebuah parti politik terbaik yang seharusnya menjadi pilihan rakyat.

Ia termasuk agenda dan manifesto pembangunan, kebajikan, perpaduan dan kepentingan rakyat dalam pelbagai bidang meliputi semua kaum di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Othman berkata, BN Kepala Batas menyambut dengan tangan terbuka kesediaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di kerusi Parlimen kawasan itu bagi menentang Abdullah.

Sebagai sebuah negara demokrasi, katanya, hasrat Abdul Hadi itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan beliau sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kepala Batas akan memastikan BN sentiasa dalam keadaan bersiap sedia.

Namun, apa yang dikesalkan, tambah beliau, sebagai seorang yang lantang memperjuangkan Islam, hasrat Abdul Hadi untuk bertanding menentang Pengerusi BN itu menunjukkan pendirian sebaliknya.

''Beliau (Abdul Hadi) seharusnya menyedari bahawa Perdana Menteri merupakan tokoh Islam yang memimpin Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) serta begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan Islam Hadhari.

Justeru, sekiranya Abdul Hadi benar- benar mahu memperjuangkan Islam, apakah rasionalnya beliau bertanding dan menentang seorang tokoh Islam yang disegani di seluruh dunia?" katanya.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing