Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


09/02/2008

Krishnan beri laluan muka baru

Krishnan beri laluan muka baru

SEREMBAN 8 Feb. – Timbalan Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk Dr. L. Krishnan memutuskan untuk tidak bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu beberapa kali termasuklah melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Justeru beliau Krishnan berharap, akan ada muka baru yang lebih muda menggantikan beliau untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden MIC kerana memberi kepercayaan kepada saya menjadi Ahli Parlimen Teluk Kemang pada pilihan raya 1999 dan sebagai ADUN Jeram Padang pada tahun 2004.

“Cukuplah, berilah kepada orang baru. Saya tidak akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat itu berkata, beliau mengundurkan diri disebabkan faktor usia yang menjangkau 60 tahun selain mahu memberikan tumpuan kepada keluarga dan kerja dalam parti.

‘‘Tetapi saya akan berikan sokongan penuh kepada sesiapa pun yang dicalonkan.

“Saya percaya pengundi di Jeram Padang juga akan menyokong tindakan saya. Saya mahu rehat daripada aktif dalam politik,” jelas beliau yang juga Ketua MIC Bahagian Jempol.

Pada pilihan raya umum 2004, Krishnan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), S. Rajagopal dengan kelebihan 4,102.

Krishnan mendapat 4,912 undi berbanding Rajagopal yang hanya meraih 810 undi.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing