Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


08/05/2007

Ketua Menteri perjelas isu patung Ma Tzu

Ketua Menteri perjelas isu patung Ma Tzu

KOTA KINABALU 7 Mei – Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman hari ini mengadakan pertemuan dengan hampir 50 ahli dan pemimpin persatuan Buddha, Taoist dan Kristian bagi menjelaskan isu pembinaan patung Buddha Ma Tzu di Kudat.

Pertemuan lebih satu setengah jam itu juga bagi menerangkan keadaan sebenar kepada pihak berkenaan berikutan serangan peribadi bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat kepada kerajaan negeri.

Musa selepas pertemuan itu sekali lagi menegaskan kerajaan negeri tidak pernah menentang pembinaan patung itu tetapi ia dibantah beberapa pihak seperti Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Belia Intelek Kudat dan UMNO Bahagian Kudat sendiri.

“Isu sebenar ialah kesesuaian tapak pembinaan itu. Ini kerana terdapat bantahan lokasi pembinaan patung itu. Oleh itu, saya telah meminta Tan Sri Chong (Kah Kiat) untuk menimbang semula lokasi lain lebih sesuai,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut.

Musa berkata, berikutan tiada penyelesaian dengan Kah Kiat, beliau berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk mendapat nasihat.

“Datuk Seri Najib menasihatkan saya menawarkan kepada Tan Sri Chong tapak lain yang lebih sesuai di samping memberi ganti rugi kos pembinaan,” katanya.

Jelasnya, beliau sekali lagi berjumpa dengan Kah Kiat bagi menyatakan tawaran itu tetapi ditolak oleh bekas Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) itu.

Malah katanya, Kah Kiat menuduh beliau menghasut pemimpin dan ahli UMNO serta komuniti Islam di daerah Kudat untuk menentang pembinaan patung tersebut.

Menjawab pertanyaan, Musa berkata, beliau sebelum itu tidak pernah diberitahu atau berbincang mengenai pembinaan patung Ma Tzu sebagaimana dilaporkan oleh akhbar-akhbar.

“Sebaliknya saya hanya mengetahui pembinaannya apabila terdapat pelbagai pihak membantah. Beliau (Kah Kiat) sepatutnya memaklumkan, sebagai rakan, kalau pun tidak menganggap saya sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Mengenai kelulusan tanah dari pihak berkuasa tempatan (PBT), beliau berkata, tanah tersebut telah diberi kepada sebuah syarikat untuk tujuan industri perkapalan dan bukannya bagi pembinaan patung.

“Ini dinyatakan oleh pegawai daerah dan arahan dari Jabatan Tanah dan Ukur agar syarat guna tanah itu tidak bercanggah dengan syarat guna asalnya iaitu industri perkapalan.

“Ia tidak sepatutnya berlaku, menunjukkan dari segi peraturan pun sudah salah, jangan cakaplah pasal perasaan dan sebagainya,” jelasnya.

Tambah Musa lagi, isu mengenai patung itu juga tidak boleh disamakan dengan pembinaannya di Kelantan kerana Parlimen Tumpat merupakan kawasan majoriti penduduk keturunan Siam yang beragama Buddha.

“Tan Sri Chong menyatakan beliau meletak jawatan untuk mempertahan kebebasan beragama. Dengan mengatakan demikian, secara tidak langsung beliau menuduh saya menyekat kebebasan tersebut,” katanya.

Kah Kiat kelmarin mendedahkan bahawa antara punca beliau meletak jawatan adalah kerana dihalang membina patung Ma Tzu tertinggi di dunia, yang dirancang dibina setinggi 10 tingkat di Kudat.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing