Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


07/05/2007

Yahya bidas kenyataan Kah Kiat

Yahya bidas kenyataan Kah Kiat

PUTATAN 6 Mei – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin menyifatkan kenyataan Tan Sri Chong Kah Kiat berhubung pembatalan pembinaan patung Ma Tzu di Kudat sebagai cubaan memburukkan kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya, selain menjejaskan imej Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan UMNO, tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri itu juga boleh menggugat kestabilan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

“Kenyataan dan perbuatan beliau sebenarnya memberi gambaran buruk kepada Ketua Menteri dan UMNO di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan cawangan UMNO Putatan di Dewan Serbaguna di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kah Kiat kelmarin, bahawa salah satu punca beliau meletak jawatan adalah kerana kerajaan negeri tidak membenarkan pembinaan patung berkenaan.

Yahya yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah menjelaskan, punca utama pembinaan patung Buddha tertinggi di dunia itu tidak dibenarkan kerana lokasinya hampir dengan Masjid Daerah Kudat.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata, penduduk kawasan itu yang majoritinya beragama Islam, melahirkan rasa tidak puas hati kerana kedudukan patung tersebut akan melindungi masjid sekiranya siap dibina.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dakwaan Kah Kiat bahawa pembinaan itu akan menjadi satu produk pelancongan di negeri ini tidak boleh dijadikan alasan untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan.

Katanya, Sabah sememangnya terkenal dengan keindahan alam semula jadi sebagai tarikan paling utama dan tidak memerlukan pembinaan patung itu untuk menarik kedatangan pelancong dari luar.

Jelasnya, bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu juga tidak mengemukakan perkara tersebut ke Kabinet Sabah mengikut cara yang betul.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing