Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


15/04/2007

Musa tiada masalah dengan Kah Kiat

Musa tiada masalah dengan Kah Kiat

KOTA KINABALU 14 April – Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menafikan mempunyai masalah dengan timbalannya, Tan Sri Chong Kah Kiat yang meletakkan jawatannya dalam Kabinet negeri.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan, hubungannya dengan menteri-menteri Kabinet dan pemimpin parti negeri ini adalah baik.

“Hubungan saya (dengan Kah Kiat) baik, kita selalu jumpa, tidak ada masalah. (Malah) tidak pernah berlaku pertengkaran dalam mesyuarat Kabinet negeri.

“Kalau tidak percaya boleh tanya menteri-menteri lain. Saya berasa bertuah kerana memiliki rakan-rakan dalam Kabinet yang sentiasa memberi sokongan,” katanya ketika diminta mengulas peletakan jawatan Kah Kiat sebagai anggota Kabinet di sini, hari ini.

Turut hadir kedua-dua timbalannya, Datuk Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin serta menteri-menteri Kabinet.

Semalam Kah Kiat mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet negeri secara mengejut berkuat kuasa Isnin ini.

Musa menjelaskan, beliau telah menerima surat peletakan jawatan Kah Kiat tetapi masih belum berjumpa dengannya.

“Jika berpeluang saya akan berjumpa dengannya dan kalau ada keperluan saya akan menelefonnya,” katanya.

Musa berkata, beliau menyerahkan kepada Kah Kiat untuk kekal dalam Kabinet selama mana yang beliau mahu.

Ditanya mengapa Kah Kiat memilih untuk meletakkan jawatan semasa ketiadaannya di Sabah, Musa berkata, itu hak beliau.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengapa tiada ucapan terima kasih yang ditujukan kepadanya semasa peletakan jawatan tersebut.

Mengenai kenyataan Kah Kiat berhubung peletakan jawatannya disebabkan prinsip, beliau berkata, semua pemimpin termasuk masyarakat mempunyai pegangan sendiri.

Sementara itu, beliau berkata, kekosongan jawatan Kah Kiat akan diisi dengan segera selepas perbincangan dengan UMNO dan parti komponen BN negeri.

Katanya, ia tidak semestinya diisi oleh Parti Liberal Demokratik (LDP) sebaliknya boleh diganti oleh mana-mana parti di dalam BN.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing