Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


13/04/2007

Exco Terengganu rempuh tiang lampu

Exco Terengganu rempuh tiang lampu

KUALA TERENGGANU 12 April – Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang tiang lampu berhampiran lampu isyarat di Sungai Rengas, Jalan Kuala Berang, di sini malam tadi.

Ekoran kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, kenderaan rasmi beliau remuk di bahagian hadapan manakala tiang lampu itu patah.

Beliau yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Kebajikan negeri terselamat, bagaimanapun kenderaannya terpaksa ditunda.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini, Rosol, 43, berkata, semasa kejadian beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ajil, Hulu Terengganu dari Kuala Terengganu selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Semasa memandu bersendirian pada kelajuan sederhana iaitu sekitar 60 dan 70 kilometer sejam, tiba-tiba kenderaan saya tidak dapat dikawal lalu terbabas ke kanan jalan dan kemudian merempuh sebatang tiang lampu di tepi jalan sehingga patah.

“Akibat kemalangan itu, bahagian hadapan kanan kereta rasmi saya remuk dan tidak boleh bergerak sehingga terpaksa mendapatkan bantuan seorang rakan untuk membawa saya pulang ke rumah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Ajil bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan boleh meneruskan sesi penggulungan pada hari terakhir persidangan dewan hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Farid Mahmud berkata, setakat petang ini pihaknya belum menerima laporan mengenai kemalangan yang melibatkan Exco kerajaan negeri berkenaan.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing