Untitled Document

   DAFTAR
    Utusan Online   Kumpulan utusan   Hubungi Kami   Jom Iklan!   Arkib Berita    
21/08/2008

Sayur-sayuran cantikkan laman rumah

Sayur-sayuran cantikkan laman rumah

SERDANG 20 Ogos - Seni landskap sering kali dikaitkan dengan bunga tetapi ramai yang tidak menyedari sayur-sayuran juga boleh dijadikan sebagai landskap bagi menghiasi laman rumah mahu pun pejabat.

Bersesuaian dengan konsep Bumi Hijau, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan teknologi landskap boleh dimakan yang mempamerkan pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran dan ulam-ulaman.

Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Tengku Ab. Malik Tengku Maamun berkata, uniknya seni landskap tersebut adalah pokok yang ditanam bukan hiasan semata-mata tetapi juga boleh dijadikan makanan.

''Terdapat pelbagai jenis landskap boleh dimakan yang menarik telah direka bentuk oleh MARDI antaranya ialah landskap gabungan tanaman sayuran serta ulaman di atas tanah, struktur pelbagai jenis sayuran memanjat dan green kit atau tanaman tanpa tanah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Laman Sayur-Sayuran, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini.

Menurut Tengku Ab. Malik, untuk tanaman tanpa tanah, sistem kapilari diaplikasikan oleh MARDI iaitu sejenis teknik tanaman di dalam bekas yang menggunakan sabut kelapa, perlite (sejenis mineral) dan pasir.

Teknologi itu sesuai dipraktikkan di kawasan perumahan yang mempunyai ruang laman terhad atau kondominium dan rumah pangsa.

''Menerusi teknik ini, orang ramai boleh menanam pelbagai jenis sayur serta ulam-ulaman seperti cekur manis, pucuk ubi, pokok gajus, ulam raja, tenggek burung dan daun limau purut dan tanaman ini boleh dimakan segar tanpa menanam pokok-pokok berkenaan di atas tanah," ujarnya.

Katanya, bagi sistem fertigasi mini pula, ia sesuai dipraktikkan di sekitar rumah yang mempunyai laman yang sederhana luas seperti rumah teres dan kediaman berkembar.

Tambahnya, kaedah itu sesuai untuk penghuni kota kerana sistem penyiraman dan pembajaan yang dilakukan secara automatik akan memastikan tanaman dapat diurus dengan baik.