Untitled Document

   DAFTAR
    Utusan Online   Kumpulan utusan   Hubungi Kami   Jom Iklan!   Arkib Berita    

28/07/2008

Fuentes bawa Johor FC ke suku akhir

Fuentes bawa Johor FC ke suku akhir

KUALA LUMPUR - Johor FC menjadi pasukan ketiga mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia selepas membenamkan cabaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-2 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Pasir Gudang, semalam.Pasukan kelab dari selatan Semenanjung itu menyertai UPB-MyTeam dan Selangor yang sudah layak lebih awal sebelum ini.

Gustavo Fuentes muncul wira Johor FC apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-78 selepas kedua- dua pasukan terikat 2-2 ketika itu.

Terdahulu, walaupun ketinggalan seawal minit ke-9 menerusi jaringan penyerang berbisa PDRM, Mohd. Nor Farhan Mohd., pasukan tuan rumah tidak cepat melatah.

Sebaliknya, mereka bangkit menyamakan kedudukan menerusi Fuentes pada minit ke-41 untuk menamatkan babak pertama dengan 1-1.

Sebaik babak kedua bermula, Johor FC hanya memerlukan masa seminit selepas permainan bersambung untuk mendahului menerusi Mohd. Azuwad Md. Arif.

Namun, PDRM yang masih berpeluang ke suku akhir kembali mengikat kedudukan menerusi Hillary Echesa pada minit ke-54 sebelum Fuentes memusnahkan impian mereka.

Sementara itu, UPB-MyTeam yang sudah pun mara ke suku akhir tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Pahang 3-2 pada perlawanan di tempat lawan iaitu Stadium Darul Makmur.

Gol-gol pasukan pelawat dijaringkan Mohd. Haris Safwan (m-22), Khaironisam Shahabudin (m-42) dan Mohd. Bunyamin Omar (m-57) manakala Pahang memperoleh gol menerusi K. Rajan (m-19) dan Redouane Barkaoui (m-88).