maskot komanwel melbourne
CGF
Melbourne2006
15/03/2006

Azalina dilarang masuk perkampungan Sukan Komanwel

Azalina dilarang masuk perkampungan Sukan Komanwel

MELBOURNE - Lawatan Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said ke perkampungan Sukan Komanwel di sini semalam berakhir dengan kekecewaan apabila beliau dilarang masuk ke tempat penginapan para atlet itu disebabkan prosedur keselamatan yang terlalu ketat.

Azalina yang tiba pada kira-kira jam 9 pagi (waktu Melbourne) hanya dibenarkan memasuki Zon Antarabangsa yang terletak di luar pagar perkampungan sukan itu, kerana semalam merupakan hari pembukaan dan tiada sesiapa kecuali para atlet dan pegawai sahaja yang dibenarkan keluar masuk ke perkampungan itu.

Menteri berkenaan sebenarnya hendak melawat para atlet negara di tempat penginapan mereka untuk melihat sendiri kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Lebih memburukkan keadaan, petugas media yang telah menunggu di luar perkampungan sukan setelah mengetahui menteri berkenaan akan mengadakan lawatan malah dilarang daripada memasuki Zon Antarabangsa, tidak seperti pada hari-hari biasa di mana wartawan boleh mendapatkan pas kebenaran untuk masuk ke zon itu.

Ia agak pelik tetapi kita harus patuh kepada peraturan, kata Azalina selepas mengadakan pertemuan dengan pengurus-pengurus pasukan.

Walaupun agak terganggu dengan keadaan itu, Azalina berkata, beliau telah melaksanakan tugasnya untuk menyampaikan pesanan kepada atlet, jurulatih dan pengurus pasukan.

Azalina berkata, beliau perlu berjumpa dengan semua pengurus pasukan yang telah ditentukan pasukan masing-masing semasa Sukan Komanwel di sini dan telah menugaskan mereka memantau dan melaporkan perkembangan dan prestasi para atlet di bawah jagaan mereka dan mengemukakan laporan kepada beliau.

Saya diberitahu bahawa banyak makanan disediakan di perkampungan sukan itu secara percuma tetapi saya tidak mahu atlet makan berlebihan agar mereka sentiasa cergas. Mereka juga dinasihatkan jangan memakan sambal sekurang-kurangnya sepanjang tempoh Sukan Komanwel ini. - Bernama


Wartawan Khalid Saad
Jurufoto Aswad Yahya
© UTUSAN MELAYU (M) BHD,
46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.