Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita
25/10/2009

Jumlah perbelanjaan Persekutuan meningkat

Jumlah perbelanjaan Persekutuan meningkat




JUMLAH perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dianggar meningkat 8.9 peratus kepada RM213.7 bilion pada tahun ini.

Daripada jumlah ini, RM160.2 bilion atau 74.9 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan baki RM53.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Perbelanjaan mengurus dijangka meningkat perlahan pada kadar 4.3 peratus walaupun dengan tambahan suntikan fiskal berjumlah RM5 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) II.

Ini berikutan peningkatan ketara perbelanjaan mengurus pada tahun 2008 sebanyak 24.7 peratus kepada RM153.5 bilion disebabkan tekanan inflasi ekonomi dalam negeri ekoran harga makanan dan minyak mentah global yang tinggi.

Pertumbuhan perbelanjaan mengurus yang lebih perlahan pada tahun ini turut disumbangkan oleh langkah perbelanjaan berhemat serta penstrukturan semula subsidi bahan api digunakan bagi membiayai PRE I yang berjumlah RM7 bilion.

Emolumen merupakan komponen terbesar perbelanjaan mengurus, menyumbang 23.7 peratus atau RM38 bilion.

Peruntukan ini termasuk pemberian bantuan khas sebanyak RM500 seorang kepada 860,000 kakitangan awam dalam kumpulan sokongan bagi meringankan beban kewangan.

Pemberian khas berlaku hanya sekali ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM430 juta.

Komponen utama lain perbelanjaan mengurus iaitu subsidi dianggar berkurangan 30.3 peratus kepada RM24.5 bilion antaranya bagi menampung perbelanjaan subsidi bahan api, pelbagai subsidi lain, insentif dan bantuan untuk program jaminan makanan, biasiswa dan skim bantuan pendidikan, program kebajikan masyarakat serta program bantuan Orang Asli.

Pada tahun 2009, peruntukan untuk subsidi bahan api dijangka menyusut ketara 48.6 peratus kepada RM9 bilion (daripada RM17.6 bilion) dipengaruhi harga minyak mentah yang lebih rendah.

Harga purata minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) untuk sembilan bulan pertama adalah AS$57.21 setong (RM188.8 setong) manakala pada 2008: AS99.92 setong (RM329.7 setong).

Penjimatan tambahan RM260 juta juga diperoleh pada tahun ini berikutan penstrukturan ini, kerajaan memperkenalkan petrol RON95 yang dijual pada harga RM1.80 seliter manakala RON97 merupakan petrol gred premium yang dijual pada harga RM2.05 seliter.