14/12/2005

Angka satu warnai perjalanan persidangan

Angka satu warnai perjalanan persidangan

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Angka satu (pertama) sangat signifikan mewarnai perjalanan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 yang berakhir di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam dan diikuti dengan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pertama.

Angka satu berganda turut mewarnai sidang kemuncak ASEAN ini dan membawa makna tersendiri kerana ia merupakan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11.

Forum EAS, yang berlangsung di KLCC, di sini berakhir tengah hari ini dengan mencapai kejayaan juga merupakan EAS pertama.

Pada forum itu, kesemua 16 pemimpin yang menghadiri EAS itu turut mencapai kata sepakat untuk menubuhkan Komuniti Asia Timur (EAC).

Forum itu dihadiri oleh 10 negara anggota ASEAN, ASEAN+3 iaitu China, Jepun dan Korea Selatan serta tiga rakan dialog ASEAN iaitu India, Australia dan New Zealand.

Ini merupakan pertemuan pertama kesemua 16 pemimpin itu termasuk Rusia yang hadir buat pertama kali sebagai pemerhati berbincang penubuhan EAC.

Sebenarnya, bukan EAS sahaja merupakan peristiwa bersejarah dan pertama berlaku sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 yang berlangsung di KLCC mulai 6 Disember bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai kanan (SOM).

Bahkan banyak peristiwa pertama dan bersejarah berlaku sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 kali ini.

KLCC sendiri merupakan kali pertama digunakan sebagai venue bagi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 dan EAS pertama.

KLCC yang terletak berdekatan dua Menara Berkembar Petronas, bangunan berkembar tertinggi di dunia yang turut menjadi simbol Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 dan menyaksikan lakaran sejarah dicatat sepanjang sidang ini.

Ini juga merupakan kali pertama Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia diadakan sejak negara itu menjadi rakan dialog pertubuhan serantau itu selama 10 tahun.

Kehadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin buat pertama kali pada Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia dan sebagai pemerhati EAS juga memberi tanda perhatian utama negara bekas kesatuan Soviet itu kepada ASEAN dan Asia Timur.

Buat pertama kali juga, ASEAN dan Rusia menandatangani Deklarasi Bersama Kerjasama Rakan Dialog Komprehensif dan Progresif dalam usaha menyediakan asas untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara ASEAN dan Rusia.

Deklarasi itu turut mengangkat status Rusia sebagai rakan kerjasama penuh ASEAN buat pertama kalinya dalam tempoh 10 tahun.

Majlis menandatangani deklarasi berlangsung di Dewan Pleno, KLCC semalam (Selasa) dengan kesemua 10 pemimpin ASEAN dan Putin menandatanganinya.

Tema Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 sendiri menggunakan angka satu sebagai matlamat dan objektif menuju ``Satu Visi, Sati Identiti dan Satu Komuniti''.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 menjadikan tema itu sebagai pendorong ke arah menggerakkan usaha ke arah mencapai satu matlamat iaitu menjadikan ASEAN satu komuniti menjelang 2020.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 melabuhkan tirainya semalam setelah dua hari menjadi tumpuan dunia dengan kejayaan menepati aspirasinya bagi membawa negara-negara rantau ini ke arah satu visi, identiti dan komuniti.

Sejak ditubuh pada 1967 sebagai sebuah persatuan yang hanya dianggotai oleh lima negara rantau Asia Tenggara dan kini dengan jumlah keanggotaan meningkat kepada 10, ASEAN ingin meningkatkan komitmen ke arah menjadi satu komuniti dengan satu visi dan satu identiti.

Kini hanya tinggal satu negara sahaja lagi di rantau Asia Tenggara yang belum menyertai ASEAN iaitu negara baru Timor Leste, yang baru mencapai kemerdekaan dari Indonesia pada 2002.

Timor Leste pada masa ini masih bertaraf negara pemerhati dalam ASEAN. Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 di Kuala Lumpur memang sangat bersejarah kerana di sini jugalah buat pertama kalinya pemimpin-pemimpin ASEAN sebulat suara bersetuju untuk memperkenalkan Piagam ASEAN.

Deklarasi Kuala Lumpur untuk memperkenalkan Piagam ASEAN itu dirakamkan tepat detik 1 petang dua hari lepas (Isnin) apabila semua 10 pemimpin ASEAN menandatangani deklarasi itu di Dewan Pleno KLCC.

Deklarasi itu merupakan satu daripada tiga Deklarasi Kuala Lumpur yang ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11.

Dua lagi deklarasi ialah Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN+3 dan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Kumpulan tokoh-tokoh terkemuka (EPG) ASEAN yang ditubuhkan oleh ketua-ketua kerajaan ASEAN bagi menyediakan cadangan dan input bagi menggubal Piagam ASEAN turut mengadakan mesyuarat pertama mereka selama dua hari bermula Isnin di KLCC.

EPG yang dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Musa Hitam diberi tempoh satu tahun untuk menyediakan laporan bagi dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-12 yang dijadual berlangsung di Cebu, Filipina Disember tahun depan.

Satu lagi peristiwa pertama dan bersejarah dicatatkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 ialah buat pertama kalinya kerajaan Malaysia memperkenalkan calon angkasawannya kepada umum.

Semalam telah diadakan buat pertama kalinya satu sesi pertemuan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan empat calon angkasawan Malaysia kepada Putin.

Hanya satu daripada empat calon itu iaitu Norazlan Shah Mahadi, Khairul Anuar Abdul Majid, Muhammad Fadzil Rahim dan Kassim Zakaria akan terpilih sebagai angkasawan pertama Malaysia yang dijadual ke angkasa Oktober 2007.

Angkasawan pertama Malaysia itu akan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), 402.34 kilometer dari permukaan bumi untuk tempoh enam hingga lapan hari.


WARTAWAN:
Zaini Hassan, Mohd. Nor Ab. Samad, Mohd. Kamil Yusof, Rozaman Ismail, Kamaruzzaman Mohd, Noraini Razak, Rozilan Salleh, Saidatul Mahiran Rosli, Raja Luvena Sharifuddin, Habibah Omar, Mustapa Kamal Basri, Hata Wahari, Hairulazim Mahmud, Hashnan Abdullah, Herman Hamid, Nazaruddin Saari, Mohd. Syahril Abdul Kadir, Saiful Haizan Hasam, Abdul Muin Sapidin, Johardy Ibrahim, Rosniza Mohamad, Asuki Abas, Suhana Abdul Mutalib, Amran Ahmad

JURUFOTO:

Azli Ahad, Raja Jaafar Raja Ali, Abd Rahman Saleh, Halim Khalid, Mohd Noor Mat Amin, Izham Jaafar, Aswad Yahya, Mohd Zaki Amiruddin, Abdul Razak Aid, Saiful Nizam Bahari, Abdul Nazir Mohammed

© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
Utusan Online