13/12/2005

Kenyataan Sidang Kemuncak ASEAN mengenai Myanmar dibawa ke PBB

Kenyataan Sidang Kemuncak ASEAN mengenai Myanmar dibawa ke PBB

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Wakil khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Tan Sri Razali Ismail, akan membawa kenyataan para pemimpin ASEAN mengenai Myanmar kepada badan dunia itu.

Kenyataan itu akan disampaikan kepada Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan atau timbalannya untuk digunakan dalam taklimat mereka kepada Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat ini, kata Razali dalam satu temu bual dengan Bernama di sini, hari ini.

Para pemimpin ASEAN yang jelak dengan tindakan Yangon yang melengah-lengahkan pembaharuan demokrasinya, pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 semalam meminta Myanmar mempercepatkan proses tersebut dan menggesa pembebasan tahanan politiknya.

Para pemimpin semalam menyambut baik pelawaan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk mengetuai satu delegasi bagi mendapatkan maklumat terus mengenai kemajuan pembaharuan demokrasi di Myanmar.

Razali berkata, kenyataan pemimpin ASEAN itu mencerminkan kebimbangan mereka bahawa nama baik ASEAN akan rosak disebabkan kelengahan pembaharuan demokrasi oleh Myanmar.

``Ini pastinya berkaitan dengan komitmen yang diberikan semasa Mesyuarat Menteri ASEAN di Phnom Penh pada November 2002 bagi pembebasan segera pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi dan apa yang memalukan adalah tiada sebarang perkembangan berlaku sejak itu,'' katanya.

Bagaimanapun, kata diplomat kanan itu, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur kini telah mengeluarkan `peringatan pada tahap tertinggi bahawa mereka (kerajaan Myanmar) belum lagi melakukannya'.

Razali mendedahkan, beliau dimaklumkan bahawa pelawaan kepada Syed Hamid itu adalah ekoran tekanan yang dirasai Yangon selepas para pemimpin ASEAN melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap `jaminan' Myanmar berkaitan kemajuan pembaharuan demokrasinya.

Beliau sependapat dengan Syed Hamid bahawa delegasi itu perlu mengetahui sama ada langkah yang jelas sedang diusahakan ke arah kerajaan demokrasi `dengan keterbukaan'. - Bernama


WARTAWAN:
Zaini Hassan, Mohd. Nor Ab. Samad, Mohd. Kamil Yusof, Rozaman Ismail, Kamaruzzaman Mohd, Noraini Razak, Rozilan Salleh, Saidatul Mahiran Rosli, Raja Luvena Sharifuddin, Habibah Omar, Mustapa Kamal Basri, Hata Wahari, Hairulazim Mahmud, Hashnan Abdullah, Herman Hamid, Nazaruddin Saari, Mohd. Syahril Abdul Kadir, Saiful Haizan Hasam, Abdul Muin Sapidin, Johardy Ibrahim, Rosniza Mohamad, Asuki Abas, Suhana Abdul Mutalib, Amran Ahmad

JURUFOTO:

Azli Ahad, Raja Jaafar Raja Ali, Abd Rahman Saleh, Halim Khalid, Mohd Noor Mat Amin, Izham Jaafar, Aswad Yahya, Mohd Zaki Amiruddin, Abdul Razak Aid, Saiful Nizam Bahari, Abdul Nazir Mohammed

© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
Utusan Online