Utusan Online
Utusan Online
13/05/2013

Golongan muda Cina monopoli perhimpunan haram

Golongan muda Cina monopoli perhimpunan haram

KUALA LUMPUR 12 Mei - Perhimpunan haram bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 anjuran parti pembangkang yang sudah dua kali diadakan terus menyaksikan penglibatan aktif golongan muda berketurunan Cina.

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang semalam kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan peserta yang hadir adalah golongan muda.

Golongan ini hadir dengan memakai baju hitam sebagaimana diarahkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Golongan muda berketurunan Cina ini dijangka terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap siri perhimpunan akan datang di seluruh negara.

Pada perhimpunan yang sama di Stadium Kelana Jaya Rabu lalu, apabila puluhan ribu anak muda kaum Cina membanjiri stadium tersebut walaupun dalam cuaca hujan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang amat teruk.

Dalam majlis tersebut, Anwar mengumumkan perhimpunan seterusnya akan diadakan di Ipoh, Kuantan dan Johor Bahru yang dijangka dihadiri oleh majoriti penyokong DAP.

Semalam, perhimpunan tersebut telah menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas kira-kira lima kilometer dari Plaza Tol Juru ke Plaza Tol Batu Kawan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan.