Utusan Online
Utusan Online
10/05/2013

Abdul Malik 'kempunan' TKM1

Abdul Malik 'kempunan' TKM1

PULAU PINANG 9 Mei - Spekulasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abdul Kassim dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 yang baharu menggantikan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Mansor Othman ternyata meleset.

Jawatan tersebut diberikan kepada Timbalan Ketua PKR Cabang Bayan Baru, Mohd. Rashid Hasnon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Berdasarkan hierarki, Abdul Malik merupakan calon paling layak untuk memegang jawatan tersebut berikutan beliau ialah pemimpin paling kanan dalam PKR negeri berbanding Mohd. Rashid.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk Abdul Halim Hussain disebut-sebut bakal mengisi kekosongan itu tetapi beliau kalah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 di tangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dengan majoriti 801 undi.

Sementara itu, Abdul Malik ketika ditemui berkata, beliau amat mengalu-alukan pelantikan Mohd. Rashid yang dianggap dapat memantapkan barisan Exco kepimpinan pembangkang di negeri ini.

"Beliau memang layak dan kita terima pelantikan ini, malah saya juga berpuas hati dengan pelantikan barisan Exco keseluruhannya," katanya selepas majlis angkat sumpah Exco di sini hari ini.