Utusan Online
Utusan Online
08/05/2013

Majoriti Barisan Nasional bertambah di Dewan Undangan Negeri Jeram Padang

Majoriti Barisan Nasional bertambah di Dewan Undangan Negeri Jeram Padang

JEMPOL 7 Mei - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, L. Manickam gembira kerana berjaya mempertahan kawasan tersebut walaupun terpaksa berdepan tiga pesaing lain.

Beliau menjelaskan, kemenangan itu bukan sahaja disokong masyarakat di pekan Rompin malah pengundi Felda merupakan yang merupakan pengundi terbanyak untuk BN.

"BN bukan sahaja menang tetapi dapat menambah majoriti. Dalam Pilihan Raya Umum ke-13, BN terus mendapat sokongan masyarakat India. Keadaan ini berbeza dengan pilihan raya umum sebelum ini yang kurang mendapat sokongan masyarakat India.

"Bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN ini, BN menang di semua PDM tetapi tewas di satu saluran sahaja. Ini membuktikan BN tetap menjadi pilihan semua pengundi Jeram Padang termasuk masyarakat Orang Asli," katanya yang ditemui ketika turun padang bertemu pengundi DUN Jeram Padang, dekat sini hari ini.

Katanya, secara umumnya kawasan DUN itu tiada sebarang masalah serius melainkan pengundi mahukan kemudahan infrastruktur ditingkatkan.

Selain itu, tambahnya, masyarakat India di kawasan itu mahu projek membaiki Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil St. Helier di Rompin dipercepatkan.

"Penduduk perlu mengetahui kerajaan telah lama meluluskan peruntukan untuk membaiki sekolah ini. Sekolah itu masih belum dibaiki kerana pihak pemaju perlu membuat pelan baharu," katanya.

Mengulas mengenai penyandang DUN itu, Datuk V. S. Mogan yang tewas di kerusi Parlimen Teluk Kemang, Manickam menyifatkan pengundi Teluk Kemang membuat kesilapan besar selepas tidak menghargai pemimpin seperti Mogan.

"Mereka rugi besar kerana tindakan tidak mengundi BN menyebabkan mereka kehilangan pemimpin yang hebat.

"Malah, saya yakin jika Mogan masih di DUN Jeram Padang, beliau mampu menang besar walaupun tidak berkempen," ujarnya.