Utusan Online
Utusan Online
29/04/2013

Khalid Ibrahim 'lari waktu malam'

Khalid Ibrahim 'lari waktu malam'

KUALA SELANGOR 28 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan menyamakan tindakan Menteri Besar Selangor itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 seperti 'lari waktu malam'.

Menurut beliau, Abdul Khalid melarikan diri dari DUN Ijok kerana gagal melaksana tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan itu dengan baik walaupun menjadi Menteri Besar selama lima tahun.

"Kita harus tanya, kalau dia hebat sebagai wakil rakyat, kenapa dia tidak mahu menjadi johan bertanding semula di Ijok? Dia sebenarnya takut.

"Dia lari tengah malam untuk bertanding di Pelabuhan Klang. Beliau sudah tipu orang Ijok, mahu tipu orang Pelabuhan Klang," katanya ketika berucap merasmikan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bestari Jaya di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan calon BN DUN Ijok, K. R. Parthiban.

Najib yang juga Pengerusi BN Selangor berkata, pengundi di Ijok tidak sewajarnya tertipu dengan janji pakatan pembangkang kerana kerajaan BN mempunyai pelbagai perancangan pembangunan di kawasan itu.

Antara perancangan itu, tambah beliau, membina sebanyak 2,000 buah rumah mampu milik, menyelesaikan masalah pengangkutan awam bagi jalan Bestari Jaya ke Kuala Selangor dan Tanjung Karang serta meningkatkan potensi kawasan perindustrian untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Sementara itu, beliau melahirkan keyakinan sokongan masyarakat India terhadap BN semakin baik berikutan pelbagai inisiatif kerajaan untuk menambah baik kehidupan masyarakat tersebut.

"Kenapa saya yakin? Pertamanya, kerana BN telah banyak membantu masyarakat India dan keduanya, kerana pakatan pembangkang gagal menolong masyarakat India," katanya.