Utusan Online
Utusan Online
26/04/2013

Muhammad Nur diboikot jentera pembangkang?

Muhammad Nur diboikot jentera pembangkang?

Muhammad Nur

BAGAN SERAI 25 April - Spekulasi protes terhadap calon payung terjun yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Muhammad Nur Manuty di Parlimen Bagan Serai ternyata berasas apabila timbul desas- desus beliau 'dipulaukan' oleh jentera pembangkang di kawasan tersebut.

Difahamkan, bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu terpaksa 'meminjam' jentera pilihan raya PKR dari Taiping untuk membantu kempen beliau di Bagan Serai.

Menurut sumber, suara bantahan sudah mula kedengaran sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Muhammad Nur sebagai calon PKR di kerusi Parlimen itu.

Bantahan tersebut bukan sahaja datang daripada Pas kerana tidak berpuas hati kerusi Parlimen Bagan Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu diberikan kepada PKR, tetapi juga dalam kalangan pimpinan PKR Cabang Bagan Serai yang mahukan calon anak tempatan.

"Pemilihan Muhammad Nur telah menyebabkan perbalahan antara ketua dan timbalan ketua PKR Cabang Bagan Serai sehingga ahli parti itu berpecah kepada dua iaitu satu puak yang menyokong pencalonan beliau dan satu lagi membantah kerana mahukan calon tempatan.

"Pada mulanya Muhammad Nur membawa timbalan ketua PKR cabang itu untuk membantu beliau berkempen tetapi disebabkan takut diboikot oleh kem ketua cabang, beliau memutuskan tidak membawa kedua-duanya. Akhirnya beliau membawa jentera dari Taiping," kata sumber itu.

Pada pilihan raya umum kali ini, Muhammad Nur akan berhadapan calon BN, Dr. Noor Azmi Ghazali dan calon Bebas, Abdul Latiff Mas'ud.

Kata sumber itu lagi, perbalahan dalaman itu menyebabkan lebih 300 ahli PKR Cabang Bagan Serai mahu keluar parti dan menyertai UMNO dalam masa terdekat.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, jawatankuasa Pas kawasan itu mengambil ketetapan tidak menyokong calon PKR di situ kerana berasa dikhianati apabila calon PKR di Parlimen Bagan Serai pada 2008, Mohsin Fadzli Samsuri bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

"Jentera Pas juga mahu memberikan lebih tumpuan untuk membantu kempen calon Pas di kerusi DUN Selinsing dan Semanggol," katanya.

Sumber itu memberitahu, Pas Bagan Serai turut bergolak kerana ada sebahagian ahli membantah pemilihan calon-calon di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha mengakui ada mendengar masalah yang melanda pembangkang termasuk hasrat lebih 300 penyokong PKR untuk menjadi ahli UMNO.

"Kita bersedia menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu Barisan Nasional (BN) asalkan mereka tidak mengenakan sebarang syarat," katanya.