Utusan Online
Utusan Online
22/04/2013

PKR Cabang Lumut dibubar

PKR Cabang Lumut dibubar

LUMUT 21 April - Tidak sampai 24 jam selepas proses penamaan calon yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri calon-calon mereka, krisis dalaman pembangkang terus meruncing apabila satu persatu pemimpin, ahli dan penyokong mereka bertindak meninggalkan parti.

Terbaru, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lumut, M.P Shamugum bersama 13 ketua ranting parti di Parlimen itu mengisytiharkan keluar parti.

Serentak dengan itu, mereka mengumumkan pembubaran PKR Cabang Lumut dan penutupan semua bilik gerakan jentera parti itu di 36 pusat daerah mengundi (PDM) berkuatkuasa serta-merta.

Shamugum berkata, keputusan itu diambil ekoran rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan PKR yang menempatkan calon luar untuk bertanding di Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini.

Tambah mengecewakan katanya, calon PKR yang bertanding di Parlimen Lumut iaitu bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana (B) Imran Abdul Hamid merupakan ahli Pas.

"Tidak ada dalam sejarah, ahli parti lain dipilih memakai baju PKR untuk bertanding dalam pilihan raya di Parlimen Lumut. Begitu juga calon PKR di DUN Pangkor, Saifullah Zulkifli merupakan calon payung terjun dan bukannya ahli PKR Cabang Lumut.

"Keputusan Anwar memilih kedua-dua calon ini seolah-olah PKR tidak mempunyai ahli atau pemimpin tempatan yang berwibawa untuk dicalonkan pada pilihan raya kali ini," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR Cabang Lumut di sini semalam.

Shamugum memberitahu, kira-kira 1,125 lagi ahli PKR daripada cabang itu dijangka keluar parti selepas ini.

Menurutnya, beberapa siri perbincangan telah dibuat dengan Anwar mengenai calon di dua kerusi tersebut serta kedudukannya sebagai ketua cabang PKR, namun tidak dilayan oleh Ketua Pembangkang itu.

Tambahnya, dia hanya mengetahui keputusan pencalonan Imran di Parlimen Lumut ketika Anwar menyampaikan ceramah di Gerik baru-baru ini.

"Anwar janji akan beri kerusi tersebut kepada anak tempatan dan bagi sesiapa yang tidak dicalonkan, tidak perlu risau kerana apabila pakatan pembangkang merampas Putrajaya banyak jawatan kosong yang disediakan dan mereka akan diberikan watikah lantikan.

"Namun sehingga kini watikah itu tidak kelihatan. Persoalan saya, sebagai ketua cabang, adakah peranan saya hanya sebagai tukang tampal poster dan menyertai reformasi sahaja? Anwar sudah tipu kaum India, beliau sudah tipu Parlimen Lumut. Kami rugi satu kerusi kerana beliau lantik ahli Pas," tegasnya.

Shanmugum berkata, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti dalam masa terdekat tetapi akan bergerak dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan ditubuhkan kelak bagi membantu calon yang boleh memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Lumut.