Utusan Online
Utusan Online
08/04/2013

BN Perak sedia hadapi Imran di Parlimen Lumut

BN Perak sedia hadapi Imran di Parlimen Lumut

ZAMBRY Abd. Kadir memberi ucapan di hadapan ribuan hadirin sambil diperhatikan oleh Dr. Azizan Osman pada Program Klinik Usahawan Dr. Azizan Osman Bersama Warga Industri 1Malaysia di Kinta Riverfront, Ipoh, semalam.

IPOH 7 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir percaya keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana (B) Imran Abdul Hamid sebagai calon di Parlimen Lumut tidak mampu menarik sokongan anggota pasukan keselamatan di kawasan itu.

Pada masa sama, Barisan Nasional (BN) Perak tidak gentar dengan pilihan PKR itu kerana menyifatkan pembangkang bebas berbuat demikian atas prinsip demokrasi.

"Saya tidak ada masalah asalkan mereka bukannya berkempen dengan cara tidak betul seperti menghentam dan memfitnah orang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Motivasi Klinik Usahawan, Dr. Azizan Osman Bersama Warga Industri 1Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Anwar yang menamakan Imran sebagai calon PKR dalam program Jelajah Merdeka Rakyat di Gerik, baru-baru ini.

Ditanya keputusan Anwar membatalkan keputusannya bertanding di Perak dan akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh, Zambry berkata, perkara itu boleh dinilai menerusi beberapa aspek.

Antaranya, kata beliau, Anwar mungkin berhasrat menguji sokongan penduduk di Parlimen Lumut sama ada beliau mampu meraih kemenangan atau sebaliknya.

"Mungkin juga beliau sudah rasa tidak selamat lagi bertanding di Permatang Pauh atau sekiranya dilihat komen-komen DAP atau Pas, mungkin pembangkang di Perak merasakan tiada harapan lagi bagi mereka untuk menang," katanya.