Utusan Online
Utusan Online
07/04/2013

BN Kelantan tidak rela lagi jadi pembangkang

BN Kelantan tidak rela lagi jadi pembangkang

KOTA BHARU 6 April - Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 ini sebagai medan terbaik untuk mereka kembali merampas negeri itu setelah 23 tahun menjadi pembangkang.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, BN sudah tidak rela lagi menjadi pembangkang dan bertekad untuk kembali mengambil alih tampuk pemerintahan yang dipegang oleh Pas sejak 23 tahun lalu.

Sehubungan itu beliau berkata, kesetiaan kepada pemimpin dan kerja bersungguh-sungguh merupakan kunci penting dalam merealisasikan impian untuk melihat kepimpinan baru di negeri itu.

"Setelah berjuang selama 23 tahun, kita tidak mahu lagi BN menjadi pembangkang di negeri ini. Kita hendak memerintah negeri Kelantan namun, persoalan untuk pastikan kita boleh ambil Kelantan ini banyak bergantung pada kita.

"Kita perlu taat dan setia kepada pemimpin, perlu pastikan apa jua keputusan yang dibuat itu dipatuhi.

"Proses penamaan calon ini begitu teliti, banyak yang layak, semua bekerja bersungguh-sungguh dan layak tetapi sudah pasti bukan semua terpilih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 1,000 ahli parti pada majlis Himpunan Barisan Hadapan di Kompleks Kebudayaan dan Kesenian Negara di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussain dan hampir kesemua ketua UMNO bahagian, penyelaras-penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, pada majlis berasingan ketika merasmikan pembukaan Pusat Media BN negeri sempena PRU-13, Mustapa menyeru agar mana-mana pihak supaya berkempen secara matang mengikut prinsip demokrasi dengan tidak melakukan sebarang tindakan ganas.

"Kita semua bersaudara, ini adat dunia, ada pemilihan, ada pilihan raya, maka gunalah peluang yang diberikan negara lima tahun sekali, memilih parti yang terbaik," katanya pada program yang turut dihadiri Ketua Penerangan BN negeri, Datuk Dali Husin dan Bendahari parti, Datuk Hanafi Mamat.