Utusan Online
Utusan Online
09/05/2013

Mengubah pendekatan untuk dapatkan pengaruh pengundi muda

Mengubah pendekatan untuk dapatkan pengaruh pengundi muda

PENGARUH pengundi muda dalam perkembangan politik tanah air kini menjadi semakin penting. Senario politik semasa telah membangkitkan semangat ramai pengundi muda untuk turut serta dalam politik, sama ada kerana minat berpolitik atau mahu menjadikannya sebagai platform untuk menyatakan protes terhadap kerajaan atau isu tertentu.

Bagi yang minat politik, penyertaan mereka adalah kerana ingin terlibat dalam soal penentuan dasar. Sebaliknya, bagi yang lebih radikal, politik adalah gelanggang untuk menyatakan rasa tidak puas hati, mengadakan rusuhan, demonstrasi dan sebagainya.

Apa pun yang menariknya ialah peningkatan jumlah pengundi muda yang cukup memberangsangkan bagi pilihan raya kali ini.

Sebanyak 19 peratus (dua juta) yang berumur antara 21 hingga 29 tahun dan 22 peratus (tiga juta) belia berumur antara 30 dan 39 tahun mendaftar sebagai pemilih.

Dalam keadaan sekarang suara anak muda ini tidak boleh dipinggirkan kerana kuasa dan pengaruh mereka dalam politik negara mewakili jumlah yang bukan sedikit.

Buktinya, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini turut dipengaruhi oleh pengundi muda yang rata-ratanya pro kepada pembangkang. Kebanyakan daripada mereka telah berjaya diserap dengan sentimen 'ubah' atau tukar kerajaan sekarang.

Mengambil kira 41 peratus (lima juta) pengundi di negara ini merupakan pengundi muda berumur 40 hingga 21 tahun yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kuasa mereka sebagai penentu keputusan pilihan raya amat besar.

Walaupun BN terus mendapat kepercayaan mentadbir negara dengan mendapat majoriti mudah apabila memenangi sebanyak 133 kerusi Parlimen, ada kerusi-kerusi yang jatuh kepada pembangkang kerana undi golongan muda.

Kecenderungan pengundi muda terhadap pembangkang memang membimbangkan apabila keputusan pilihan raya baru-baru ini memperlihatkan kebanyakan kerusi dikawasan bandar contohnya di Pandan dan Ampang terus dikuasai pembangkang dengan jumlah undi yang diperoleh calon pembangkang cukup tinggi.

Ini kerana isu-isu seperti penurunan harga minyak, penghapusan tol, pemansuhan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang walaupun hakikatnya merupakan pembohongan pembangkang. Ia berjaya menarik ramai golongan muda menyokong pembangkang kerana isu-isu tersebut dirasakan lebih dekat dengan mereka.

Bagi mereka tidak timbul soal pembangkang mampu melaksanakannya atau tidak, kerana yang penting 'ubah' dahulu kerajaan sekarang dan beri peluang kepada kerajaan baru.

Media sosial turut digunakan pihak pembangkang untuk menyebarkan pelbagai pembohongan dan maklumat salah kerana cara itu lebih cepat untuk menyalurkan dakyah mereka serta mudah meresap dalam jiwa golongan muda.

Sehubungan itu, amatlah penting mulai sekarang, kerajaan mahupun agensi yang bertanggungjawab memainkan peranan untuk mendekati golongan muda ini bagi menggalakkan mereka daripada terus ditipu pembangkang.

Pendekatan yang lebih segar dan menarik jiwa anak muda perlu dilakukan kerana rasa ingin tahu mereka kini semakin meningkat.

Ini diakui oleh sebuah organisasi bukan kerajaan The Asia Foundation yang menjalankan kajian khusus terhadap 'pandangan orang muda' sejak 2007 menyatakan sikap ingin ambil tahu tentang pentadbiran negara dalam kalangan belia meningkat setiap tahun.

Menurut kajian pada 2012, Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Perdana Menteri berbanding pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa.

Belia Cina pula merupakan kaum paling tinggi meletakkan kepercayaan kepada NGO berbanding kerajaan iaitu sebanyak 60 peratus daripada mereka dan hanya 35 peratus yakin dengan peranan pihak berkuasa.

Kumpulan 'bebas' atau independent (indie)' umpamanya, antara kumpulan yang perlu diberi perhatian kerana kebanyakan daripada mereka tidak menyokong kerajaan kerana merasa dipinggirkan.

Ini diakui oleh seorang penggiat indie yang dikenali sebagai kukubesi yang ditemui penulis kira-kira dua bulan lalu di Bangsar.

Beliau yang aktif dalam perniagaan percetakan memberitahu, tidak sukar untuk menarik perhatian golongan sepertinya terutama kumpulan yang menentang kerajaan.

Kerajaan hanya perlu mendengar idea dan pandangan selain mengiktiraf kewujudan mereka yang kebanyakannya terdiri daripada belia yang berpendidikan tinggi, profesional dan aktif dalam kerja-kerja sosial.

"Pihak pembangkang telah lama mendekati mereka dan mengambil kesempatan dengan bertindak sebagai penjaga mereka dan pada masa sama menerapkan ideologi tidak sihat sehingga menimbulkan sikap ingin memberontak dan sebagainya," katanya.

Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli ialah contoh anggota kumpulan indie yang berjaya diperalatkan pembangkang apabila dia bersama anggota kumpulannya iaitu SMM dan 'Bebas' telah bertindak biadab menurunkan bendera Perdana Menteri dan menaikkan bendera lain di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2011.

Kebimbangan terhadap hilang undi orang muda semakin tinggi selepas melihat penolakan pengundi Cina kepada BN semalam.

Oleh yang demikian, jika pergerakan secara senyap pihak yang berkepentingan tidak dihalang segera maka, kepimpinan negara akan berdepan dengan masalah untuk terus mengekalkan keamanan dan kestabilan.

Golongan muda hanya mahu diiktiraf dan untuk melakukannya perlu ada aktiviti atau program yang dekat dengan mereka. Pembangkang telah berjaya melakukannya. Buktinya, sebahagian besar yang menyertai perhimpunan, demonstrasi yang diadakan adalah golongan muda yang berjaya diperalatkan pembangkang.

Kebanyakan golongan muda bekerja di bandar, cara hidup mereka kadang kala memenatkan justeru untuk membuatkan mereka melihat mesej kerajaan, pendekatannya perlu berbeza, tidak boleh terlalu konvensional.