09/04/2011

Dominique Ng desak DAP tidak bertanding

Dominique Ng desak DAP tidak bertanding

KUCHING 8 April - Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Dominique Ng mendesak calon DAP di kawasan Dewan Undangan (DUN) Padungan, Wong King Wei supaya tidak bertanding pada pilihan raya negeri Sabtu depan.

Katanya, ia bagi membolehkan beliau selaku penyandang kerusi itu yang kini bertanding atas tiket Bebas selepas keluar PKR pada Selasa lalu berdepan satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN), Sim Kiang Chiok.

Katanya, sebagai penyandang, beliau lebih layak mempertahankan kerusi itu tanpa gangguan DAP selain menyifatkan King Wei masih muda dan mempunyai peluang untuk bertanding pada masa depan.

"Sebagai orang muda, beliau sepatutnya berbakti kepada para pengundi dahulu sebelum meminta mandat rakyat Padungan," katanya.

Dominique mengumumkan keluar PKR kerana berang dengan permainan politik antara bekas partinya dengan DAP dalam isu pertukaran kerusi Padungan dan Batu Lintang yang menyebabkan beliau tidak dicalonkan semula.

Beliau juga berikrar untuk mengulangi kejutan oleh beberapa calon Bebas yang pernah memenangi kerusi Padungan dalam siri pilihan raya negeri sebelum ini.

Dalam pada itu, Dominique mendakwa keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas mendapat reaksi positif daripada penyokongnya termasuk rakan-rakan dalam PKR.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam reaksinya terhadap desakan itu berkata, sepatutnya yang berundur ialah Dominique kerana pengasas PKR negeri itu telah bersetuju untuk berkempen dan menyokong pembangkang.

"Nasihat kami kepadanya ialah beliau sebenarnya patut menarik diri. Biarlah pertarungan ini (Padungan) antara BN dan pakatan pembangkang," katanya selepas melancarkan manifesto pembangkang, di sini hari ini.

Waktu Solat



Utusan Online on Facebook


Kumpulan Utusan | Hubungi Kami | Jom Iklan | Terma & Syarat
© UTUSAN MELAYU (M) BERHAD, 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.