08/04/2011

Sikap pembangkang bercelaru

Sikap pembangkang bercelaru

KUCHING 7 April - Kecelaruan pembahagian kerusi di kalangan parti pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 menjadi bukti bahawa mereka bukannya alternatif yang berdaya maju untuk menggantikan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, walaupun pembangkang cuba mengatur satu barisan calon yang boleh memberi tentangan kepada BN, namun akhirnya persefahaman itu berkecai sehingga wujud sejumlah besar pertandingan lebih daripada dua penjuru di 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)

"Ini bererti mereka tidak dapat kerjasama dan capai kata sepakat sekali gus menunjukkan bahawa mereka sebenarnya tidak boleh ada persefahaman.

"Jangan cakap nak tubuh kerajaan (di Sarawak), dalam pembangkang pun sudah bertelagah antara satu sama lain," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran dan penyerahan SIRIM Pintar-Learning dan SIRIM Robokit di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong, di sini hari ini.

Mengenai jumlah calon Bebas yang mencecah 41 orang, Perdana Menteri berkata, ia boleh memberi kelebihan kepada BN kerana akan berlaku perpecahan undi di kalangan penyokong pembangkang.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya BN menaja calon Bebas yang sebenarnya langsung tidak dikenali.

"Itu semua dakwaan yang tidak benar, sebab pimpinan BN pusat hanya menyokong calon yang ditentukan bersama dengan BN Sarawak.

"Calon BN Sarawak adalah calon yang kita sokong dan restu malah saya juga terlibat dalam penentuan calon-calon dan saya selaku Pengerusi BN bersama Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bertanggungjawab untuk memenangkan mereka," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap pengundi Cina berfikir secara rasional sewaktu hari pengundian kerana Sarawak memerlukan sebuah kerajaan negeri yang dianggotai semua kaum.

Katanya, kaum Cina perlu ada wakilnya dalam kerajaan yang bakal ditubuhkan di negeri ini dan mereka tidak sepatutnya terpengaruh dengan mainan politik serta hasutan DAP yang hanya mahu meraih undi.

"Apa yang mustahak ialah sebuah kerajaan diwakili semua kaum yang dapat menentukan kepentingan seluruh rakyat dibela dengan sebaik mungkin," katanya.

Waktu Solat



Utusan Online on Facebook


Kumpulan Utusan | Hubungi Kami | Jom Iklan | Terma & Syarat
© UTUSAN MELAYU (M) BERHAD, 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.