08/04/2011

BN lancar manifesto pilihan raya

BN lancar manifesto pilihan raya


Abdul Taib Mahmud (tengah) menunjukkan Manifesto Barisan Nasional 2011 di Dewan Persatuan Melanau, Sibu semalam. Dari kiri, Awang Bemee Awang Ali Basah, Fatimah Abdullah, James Jemut Masing, Wong Soon Koh dan Dr Annuar Rapaee.

SIBU 7 April - Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan manifestonya untuk pilihan raya negeri Sarawak ke-10 dengan tekad terus menjamin masa depan rakyat bersama kepimpinan parti pemerintah tersebut.

Menyempurnakannya di Kampung Bandung di sini, Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, manifesto yang ringkas itu membuktikan kerajaan BN mempunyai rekod-rekod baik pada masa lalu dalam memperjuangkan kehidupan rakyat sehingga berjaya pada hari ini.

Kata beliau, segala jentera kerajaan digerakkan dengan baik selama ini untuk mengubah wajah Sarawak sebagai sebuah negeri yang maju.

''Sebelum membuat keputusan pada hari pengundian, saya berharap anda (pengundi) mendapat iktibar apabila mengimbas kembali setiap pencapaian dan usaha bersama kita selama ini untuk membangunkan Sarawak.

"Kita mahu menjadi maju setaraf seperti Singapura, Jepun, Eropah dan Amerika, maka inilah tujuan kita di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Datuk Seri Najib mahu memastikan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat dicapai. Maka peliharalah bentuk kepimpinan sedia ada supaya Sarawak dapat melaksanakan pembangunannya secara terancang," kata beliau dalam ucapannya.

Abdul Taib turut mengingatkan rakyat, parti pembangkang tidak ada keupayaan untuk membentuk kerajaan yang baik dan fakta itu diperkukuhkan lagi dengan senario sebelum pilihan raya yang sudah menampakkan pertelagahan sesama sendiri dalam memilih calon.

''Pakatan pembangkang bergaduh sesama sendiri, bahkan sudah berminggu-minggu mereka mengaturkan soal calon dan akhbar-akhbar menyiarkan mereka bergaduh besar mengenai pemilihan calon sehinggakan Snap tidak lagi mahu bersama dalam barisan pembangkang.

''Selain itu, kita boleh nampak calon-calon yang dipilih untuk bertanding oleh pembangkang, jelas sekali menunjukkan kualitinya tidak disesuaikan dengan apa yang dilaung-laungkan iaitu melaksanakan pemerintahan yang boleh menunaikan janji dan menjalankan program membantu rakyat," ujar beliau.

Kata Abdul Taib: "Tiada pembangunan dapat dilaksanakan tanpa wawasan untuk maju kerana ia ibarat belayar ke laut tanpa sebarang peta."

Waktu Solat



Utusan Online on Facebook


Kumpulan Utusan | Hubungi Kami | Jom Iklan | Terma & Syarat
© UTUSAN MELAYU (M) BERHAD, 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.