Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita

27/04/2010

Ahli keluarga mahu UMNO pecat Tamrin

Ahli keluarga mahu UMNO pecat Tamrin

KUALA LUMPUR 26 April - Pucuk pimpinan UMNO diminta supaya memecat Tamrin Ghafar daripada parti itu selepas 'berpaling tadah' apabila muncul di pentas pembangkang semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, baru-baru ini.

Anak saudaranya, Muhammad Zahid Md. Arip berkata, beliau dan seluruh ahli keluarga Tun Ghafar Baba berasa amat kesal, malu serta terkilan dengan perbuatan Tamrin tersebut.

Katanya, perbuatan Tamrin seharusnya dibalas dengan pemecatannya daripada UMNO atas dasar bersikap khianat kepada parti.

"Jika perbuatan Tamrin ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan i akan menghakis kepercayaan ahli terhadap UMNO.

"Nama baik Ghaffar sebagai pemimpin UMNO yang sangat setia kepada parti dan dihormati ramai juga tercalar disebabkan sikapnya itu,'' katanya.

Muhammad Zahid berkata demikian ketika mengulas mengenai Tamrin yang dikatakan berada di pentas semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen untuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Felda Sungai Buaya, Hulu Selangor baru-baru ini.

Beliau menegaskan, biarpun Tamrin tidak berucap pada kempen itu, tetapi tindakannya berada di situ membuktikan sokongannya terhadap parti itu sedangkan beliau masih lagi ahli UMNO.

"Saya juga pernah memalukan keluarga Tun Ghafar apabila menyertai PKR dari 2000 hingga 2004 sehingga memegang jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda.

"Bagaimanapun saya kembali kepada UMNO kerana sedar telah melakukan kesalahan dan memalukan keluarga Tun Ghaffar,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.Menurut Zahid, Tamrin sepatutnya belajar daripada kesilapannya itu dan bukan mengulangi perbuatan memalukan itu.

Tambahnya lagi, pucuk pimpinan UMNO perlu tegas dalam hal ini kerana perbuatan Tamrin itu sebenarnya menunjukkan beliau mencabar parti tersebut.

"Tambahan pula perkara ini berlaku ketika Barisan Nasional (BN) sibuk berperang dengan parti pembangkang supaya dapat menawan semula Parlimen Hulu Selangor,'' katanya.

Muhammad Zahid berkata, walaupun Tamrin pernah menjadi Exco Pemuda ketika Anwar dalam UMNO, beliau tidak wajar berada di atas pentas pembangkang sewaktu kempen walaupun hanya atas dasar persahabatan.

Walaupun Tamrin mungkin kecewa dengan UMNO, beliau tidak sepatutnya memalukan seluruh ahli keluarga Ghafar dengan perbuatan tersebut .

"Ramai lagi orang UMNO yang kecewa kerana tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam parti tetapi tetap bertungkus-lumus untuk memastikan kemenangan BN di Hulu Selangor,'' katanya.