21 Januari 2019
06/07/2009

Abdul Hamid sedih tinggal Dewan Negara

Abdul Hamid sedih tinggal Dewan Negara

06/07/2009 2:56pm

KUALA LUMPUR 6 Julai - Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh sedih kerana menamatkan tugasnya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ketika dewan itu sedang melalui perubahan yang disifatkannya `sangat menarik' dengan penyertaan lebih ramai senator daripada parti pembangkang.

Menurut Abdul Hamid, 65, penyertaan ramai senator yang mempunyai latar belakang politik berbeza akan dapat menghapuskan tohmahan pelbagai pihak sebelum ini yang menyifatkan dewan itu hanya sebagai `pak turut' terhadap segala keputusan Dewan Rakyat.

``Saya serahkan kepada rakyat untuk membuat kesimpulan sama ada saya telah menjalankan tugas dengan memuaskan atau tidak sejak menerajui dewan ini selama enam tahun sehingga hari terakhir hari ini.

``Saya telah berusaha untuk melakukan yang sebaik mungkin bagi memastikan Dewan Negara memainkan peranannya sebagai badan penyeimbang kepada Dewan Rakyat dan memastikan setiap rang undang-undang yang diluluskan tidak mempunyai kecacatan yang boleh merugikan rakyat,'' ujarnya.

Beliau yang memegang jawatan Yang Dipertua selama dua penggal sejak tahun 2003 pernah menjadi Menteri Besar Perlis dari 1986 sehingga 1995. - Utusan