25/04/2009

Tong gas LPG meletup 1 maut, 1 cedera

Tong gas LPG meletup 1 maut, 1 cedera

25/04/2009 5:17pm

BUTTERWORTH 25 April Seorang pekerja maut manakala seorang lagi melecur hampir 90 peratus anggota badannya setelah sebuah kedai dua tingkat yang menjadi tempat menyimpan tong gas LPG di Kawasan Perindustrian Kecil Sungai Lokan, di sini terbakar lalu meletup lewat malam semalam.

Kedua-dua pekerja rakyat Bangladesh itu dipercayai berada di tingkat atas kedai berkenaan semasa kejadian.

Mayat seorang daripada mereka yang rentung ditemui kira-kira 9.30 pagi ini dan dibawa keluar dari runtuhan kedai itu kira-kira sejam kemudian dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Timbalan Pengarah Bomba Negeri Mohd Razam Taja Rahim berkata mangsa yang cedera dihantar ke hospital yang sama kira-kira 1 pagi untuk mendapatkan rawatan.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata letupan tong gas itu turut menyebabkan empat buah kedai yang terletak sederet dengan premis itu terbakar manakala kira-kira 35 buah kedai yang terletak di tiga blok berhampiran mengalami pelbagai kerosakan antaranya pecah cermin tingkap, pintu dan bumbung runtuh.

Selain bangunan kedai itu, lima buah kenderaan termasuk sebuah lori yang diletakkan berhampiran premis menyimpan tong gas itu turut musnah, katanya.

BERNAMA