20 November 2018
24/04/2009

Tuanku Mizan akhiri lawatan ke Chile

Tuanku Mizan akhiri lawatan ke Chile

SANTIAGO (Chile) 23 April - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mengakhiri lawatan negara ke Chile, hari ini.

Antara yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Santiago untuk mengucapkan selamat berangkat kepada baginda berdua adalah Pemangku Pengarah Jabatan Majlis dan Protokol Kementerian Hal Ehwal Luar Chile, Papricio Becker, Duta Chile ke Malaysia, Hose Menuel Ovalle dan Duta Malaysia ke Chile, Abdullah Faiz Mohd Zain. Pasangan Diraja itu tiba di sini untuk lawatan negara pada Ahad dan telah bertemu dengan Presiden Chile Michelle Bachelet pada Isnin.

Selepas ini baginda berdua akan melawat Uruguay.

Terdahulu pada sebelah pagi, Tuanku Mizan melawat ibu pejabat Unit Berkuda Polis Chile di sini. Baginda tiba di Calle Cuacho Verde pada pukul 10 pagi dan disambut Ketua Polis Chile Jeneral Eduardo Gordon.

Sekumpulan penunggang daripada unit itu kemudian menghiburkan baginda dan para tetamu dengan persembahan kemahiran dalam mengendalikan kuda dan mempertontonkan gerakan-gerakan mengagumkan dalam penunggangan kuda.

Sementara itu, dalam program berlainan, Tuanku Nur Zahirah melawat Fina Artesania Chilena (FABA) bagi melihat kehalusan Lapis Lazuli, batu permata yang hanya boleh didapati di Chile dan Afghanistan. - BERNAMA