21 Januari 2019
28/12/2008

Yang Dipertuan Besar N. Sembilan yang baru diumum esok

Yang Dipertuan Besar N. Sembilan yang baru diumum esok

SEREMBAN 27 Dis. -Pengumuman Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru akan dibuat pada Isnin ini sebelum Almarhum, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman disemadikan di Makam Diraja Seri Menanti di Kuala Pilah.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Norzam Mohd. Nor berkata, persidangan untuk melantik Yang Dipertuan Besar itu akan dibuat bersama Datuk Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Istana Besar Seri Menanti, esok.

"Pengumuman pengganti Almarhum akan dibuat pada pagi Isnin," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, jenazah Tuanku Ja'afar dibawa keluar dari Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) pada pukul 6.55 petang ini untuk dibawa ke Istana Besar Seri Menanti.

Turut mengiringi jenazah baginda, Tuanku Ampuan Najihah; kerabat diraja Negeri Sembilan; Mufti, Datuk Murtadza Sheikh Ahmad; pemimpin serta orang ramai yang menanti sejak awal pagi di Klinik Pakar HTJ.

Jenazah Almarhum dibawa dengan kenderaan pengangkut diraja serta diberi kawalan dengan diiringi kenderaan bermotosikal oleh Briged Pertama Infantri Malaysia, Kem Rasah untuk terus dibawa ke Istana Seri Menanti.

Terdahulu, pada pukul 4.45 petang, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun menziarahi jenazah Almarhum selama 30 minit di Wad Diraja, HTJ.

Turut menziarahi Almarhum, Datuk Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak dan beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Mohd. Nor memberitahu, istiadat penghormatan terakhir di Balairong Seri, Istana Seri Menanti akan dibuat esok bermula pukul 10 pagi sehingga 5 petang dan pada Isnin, 11 pagi hingga 2 petang.