21 Januari 2019
05/06/2008

PM minta swasta tumpu pembangunan teknologi bahan api dan tenaga diperbaharui

PM minta swasta tumpu pembangunan teknologi bahan api dan tenaga diperbaharui

05/06/2008 8:32pm

PUTRAJAYA 5 Jun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta syarikat swasta di negara ini supaya menumpukan perhatian kepada pembangunan teknologi yang lebih berkesan daripada segi penggunaan bahan api dalam operasi syarikat masing-masing.

Perdana Menteri berkata penumpuan juga harus diberikan kepada penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan ombak.

"Perusahaan sedemikian yang bertujuan menghijaukan ekonomi juga akan menjadi tenaga penggerak yang membawa peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan baru, serta mewujudkan industri-industri baru, katanya dalam teks ucapan yang dibacakan isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah pada majlis penyampaian Anugerah Langkawi 2007 dan Bandar Lestari-Anugerah Alam Sekitar 2006/2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Abdullah berkata perubahan ketara iklim sedunia, serta kenaikan harga minyak sedunia seharusnya membawa kepada perubahan struktural dalam penggunaan bahan api, di mana penggunaan bahan yang berkarbon rendah seharusnya ditekankan, baik daripada segi ekonomi, mahupun daripada segi gaya hidup keluarga dan individu.

"Rakyat juga perlu berganding bahu dan bersatu tenaga untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Pembangunan serta kemajuan fizikal, sosial dan ekonomi tidak bermakna lagi sekiranya kita gagal mengekalkan alam sekitar bandar yang bersih, selamat, sihat dan produktif, katanya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Uggah Embas, dalam ucapannya berkata, selain Singapura, Malaysia berada di hadapan berbanding negara anggota Asean yang lain dalam mengambil tindakan dan usaha positif ke arah pencapaian taraf kelestarian bandar di seluruh negara.

Anugerah Langkawi, yang merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada warga Malaysia yang memberi sumbangan besar dalam bidang alam sekitar, tahun ini dianugerahkan kepada aktivis alam sekitar yang juga merupakan pengasas Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Datuk Dr Mohammed Anwar Fazal Mohammed.

Bagi Anugerah Bandar Lestari 2006/2007, kategori pihak berkuasa tempatan ibu negeri dimenangi oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara, Sarawak.

Majlis Perbandaran Subang Jaya, Selangor turut menerima anugerah tersebut bagi kategori PBT bandar raya/perbandaran manakala Majlis Daerah Pekan, Pahang, memenangi kategori PBT daerah.

BERNAMA