21 Januari 2019
15/03/2008

Isu Idris: ADUN temui MPPR Terengganu

Isu Idris: ADUN temui MPPR Terengganu

Oleh: KAMARUDIN HAMZAH

BESUT 14 Mac - Sebanyak 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu dipanggil untuk menghadiri perjumpaan dengan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) esok.

Utusan Malaysia difahamkan, perjumpaan itu ada kaitan dengan isu pelantikan Menteri Besar yang sudah berlarutan sejak enam hari lepas sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai calon yang akan mengisi jawatan berkenaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh ketika mengesahkan perkara itu berkata, perjumpaan tersebut akan diadakan di Putrajaya pada sebelah pagi.

"Bagaimanapun saya tidak dipanggil untuk menghadiri perjumpaan tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Idris ditemui selepas menyertai perlawanan futsal menentang pasukan Pejabat Daerah Besut di Gelanggang Futsal Kampung Raja di sini hari ini.

Beliau yang kelihatan ceria menyumbangkan dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan pasukan lawan dengan jaringan 7-2.

Sebelum ini, spekulasi mengenai kedudukan Idris sebagai Menteri Besar Terengganu timbul apabila majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar dan pelantikan Exco- Exco kerajaan negeri yang dijadualkan berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu pagi Isnin lepas ditangguhkan pada saat-saat akhir sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kemudian.

Keengganan Idris mengesahkan kedudukannya selepas kembali dari Kuala Lumpur turut menimbulkan spekulasi mengenai beliau akan digantikan dengan calon baru sebagai Menteri Besar.

Empat nama disebut-sebut bakal menggantikan Idris sebagai Menteri Besar ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said; Adun Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera dan Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid.

Ketiga-tiga mereka merupakan bekas Exco kerajaan negeri di bawah kepimpinan Idris selepas Pilihan Raya Umum 2004 dan Rosol juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri.

Pada pilihan raya umum lalu, BN memenangi 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain mengekalkan tujuh kerusi Parlimen manakala satu kerusi Parlimen jatuh kepada Pas iaitu di Marang.